Melaka Sentral dibina semula hujung tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 11 Julai – Melaka Sentral bakal berwajah baharu menerusi projek pembinaan semula yang dijangka bermula pada hujung tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri telah pun memberi surat lantikan kepada syarikat Antah Sri Radin Sdn Bhd dan Plan A Concepts Sdn. Bhd.bagi pembinaan semula kompleks tersebut.

“Disebabkan terdapat beberapa masalah membabitkan Melaka Sentral, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan berhati-hati dalam membina semula kompleks ini dan menambah baik kedudukannya.

“Kita menerima banyak tawaran syarikat persendirian untuk memajukannya bersama Kerajaan Negeri sejak tahun 2020, namun hasil penilaian mendapati kebanyakan mereka tidak mempunyai kemampuan dari sudut kewangan.

“Akhirnya kita menerima dua syarikat terkini yang bersetuju untuk menjalankan usahasama membangunkan semula Melaka Sentral ini di tapak yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Photo1720681059
AB Rauf pada sidang media selepas Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kerja-kerja pembinaan semula kompleks itu akan menyaksikan beberapa pembaharuan baharu dilakukan termasuklah terminal, kawasan perniagaan, hotel dan kondominium yang berkonsepkan pembangunan bercampur.

“Insya-Allah perjanjian ini dijangka akan dimuktamadkan dalam bentuk teknikal dan komersilnya sebelum hujung bulan Ogos atau awal bulan September nanti.

“Kos pembinaan terminal sahaja bernilai RM130 juta tidak termasuk lain-lain binaan komersil seperti kawasan perniagaan, hotel, kondominum dan beberapa lagi,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan penggulungannya, Ab Rauf memaklumkan Kerajaan Negeri telah menerima bayaran wang komitmen sebanyak RM100,000 daripada syarikat yang dilantik.

“Maka kerja-kerja untuk meruntuh dan membina semula insya-Allah akan berlaku dalam masa terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4729
Kongsi :
Previous post ‘Low investment, high impact’, Melaka tarik lebih ramai pelancong China
Next post TMM2024: Melaka mendahului Kelantan
Ubah saiz-+=