Melaka tawar khidmat nasihat, rundingan syariah percuma

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 3 Feb. – Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia Cawangan Negeri Melaka (PGSM Melaka) mengambil inisiatif menyediakan program khidmat nasihat dan rundingan syariah secara percuma kepada orang ramai bermula sekarang hingga 31 Disember depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, program itu diwujudkan bagi membantu orang ramai khususnya pasangan Islam di negeri ini mendapatkan pandangan yang profesional berkaitan isu-isu kekeluargaan mengikut hukum syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka.

Jelasnya, orang ramai boleh mendapatkan hidmat nasihat dan rundingan yang disediakan melalui aplikasi WhatsApp, panggilan telefon atau bersemuka melalui janji temu kepada seramai 33 orang ahli Peguam Syarie Melaka yang berdaftar di bawah PGSM Melaka.

“Program tersebut yang berakhir pada 31 Disember 2021 dilaksanakan atas tujuan murni untuk membantu orang ramai terutama yang tinggal di negeri ini yang berkemungkinan mempunyai masalah dan konflik rumah tangga, khususnya sepanjang PKP 2.0 yang telah dilanjutkan sehingga 18 Februari 2021 dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti PGSM Melaka dan mengucapkan terima kasih atas inisiatif yang disediakan secara percuma kepada orang ramai yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, antara khidmat nasihat dan rundingan syariah yang ditawarkan adalah seperti permohonan perceraian secara baik, fasakh, taklik dan tebus talak serta tuntutan nafkah iddah, mutaah, nafkah isteri dan tunggakan nafkah isteri.

“Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan syariah berkaitan hak jagaan anak dan nafkah anak; harta sepencarian; hibah dan faraid; iktiraf nikah dan iktiraf nikah poligami serta hal-hal lain yang berkaitan dengan hubungan suami isteri di dalam perkahwinan.

“Diharapkan kerjasama yang terjalin dengan PGSM Melaka melalui Pengerusinya Datuk Mohd Adli Ithnin dapat membantu kerajaan negeri dalam menangani masalah institusi kekeluargaan Islam di negeri ini secara lebih berkesan,” katanya lagi.

Views:

781
Kongsi :
Previous post Muhyiddin lawat Indonesia esok atas undangan Jokowi
Next post Bekas ADUN Lembah Jaya meninggal dunia
Ubah saiz-+=