Bekas ADUN Lembah Jaya meninggal dunia

Masa Membaca:54 Saat

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lembah Jaya Datuk Ismail Kijo meninggal dunia akibat COVID-19, menurut laporan portal Harian Metro, hari ini.

Ismail, 69, yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Ampang dilaporkan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dan menghembuskan nafas terakhir pada 12.33 tengah hari.

Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Ampang Mior Azlan Mior Kamarulbaid mengesahkan perkara tersebut dan menjelaskan Allahyarham Ismail menjadi ketua bahagian sejak 2008 dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 16 Januari lalu.

“Urusan pengebumian diuruskan Kementerian Kesihatan (KKM) disebabkan arwah positif Covid-19.

“Kami mengetahui arwah positif pada 16 Januari lalu ketika dimaklumkan dalam kumpulan WhatsApp,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar di Facebooknya sebentar tadi, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Innalillahi wainnaillaihi rojiun. Dukacita dimaklumkan sahabat saya dalam Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk Ismail Kijo, Ketua Umno Bahagian Ampang kembali ke Rahmatullah sebentar tadi di Hospital Sungai Buloh.

“Sama-sama kita doakan semoga Allahyarham diletakkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Salam Takziah kepada seluruh anggota keluarga. Al-Fatihah,” katanya.

Views:

759
Kongsi :
Previous post Melaka tawar khidmat nasihat, rundingan syariah percuma
Next post KKM sedia laksanakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama Februari ini – Dr Adham
Ubah saiz-+=