
MELAKA TERBUKA BENTUK GABUNGAN ‘BN PLUS’ – AB RAUF
TELOK MAS 2 Ogos – Barisan Nasional (BN) Melaka bersedia meneroka jalinan kerjasama dengan mana-mana parti politik menerusi gabungan yang dinamakan ‘BN Plus’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, BN Melaka sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak bagi menilai bentuk kerjasama yang boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada parti, malah demi negeri dan rakyat.
“Melaka bersedia dalam apa juga bentuk gabungan. Kita panggil BN Plus. Siapa juga boleh datang berunding dengan kita. Tetapi rundingan itu tidak semestinya berakhir dengan perjanjian ataupun persetujuan. Ia melihat kepada kelebihan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Kompleks Japerun Telok Mas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, perkembangan politik selepas BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan semalam turut menyemarakkan semangat untuk membawa momentum kemenangan berkenaan ke Melaka pada PRN akan datang.
Bagaimanapun, katanya, tarikh PRN Melaka masih belum ditetapkan dan segala keputusan berkaitan bentuk kerjasama politik akan dinilai sebaik-baiknya.
“Tarikhnya (PRN) belum tahu lagi. Tapi kalau tanya saya, kata orang Melaka, ‘Dua tiga kucing berlari, mana nak sama si kucing belang. BN dah menang dua negeri, takkan Melaka tak ambil peluang?’ Itulah jawapan saya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


