RM1.38 JUTA PERKASA NELAYAN TANJUNG NIBONG

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TELOK MAS 2 Ogos – Kemudahan komuniti nelayan di Tanjung Nibong, di sini, terus diperkasakan menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah kira-kira RM1.38 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara yang telah dilaksanakan adalah pembinaan jeti nelayan Tanjung Nibong yang telah siap dibina menerusi peruntukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bernilai lebih RM800,000.

Tidak hanya itu, tahun ini pula sejumlah RM400,000 lagi diterima bagi pembinaan bangsal nelayan.

Katanya, pembangunan kemudahan berkenaan membuktikan komitmen pemimpin negeri dalam memastikan kebajikan serta keperluan komuniti nelayan terus dibela.

“Inilah manifestasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang kita gagaskan supaya segala keperluan rakyat termasuk golongan nelayan ini diberi perhatian sewajarnya.

“Saya harap dengan adanya kemudahan ini, nelayan dapat memanfaatkan dengan sebaiknya,” katanya ketika berucap pada Ramah Mesra Bersama Nelayan Telok Mas sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Jeti Nelayan Tanjung Nibong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pegawai Kewangan Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, kawasan sekitar Jeti Nelayan Tanjung Nibong turut mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti, khususnya menerusi aktiviti memancing.

Menurutnya, keindahan kawasan berkenaan termasuk panorama matahari terbenam wajar dimanfaatkan bagi menarik lebih ramai pengunjung sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

“Kawasan jeti Tanjung Nibong ini pun boleh kita promosikan. Kita bangunkan sebagai tempat memancing dan jadikan ia sebagai salah satu lokasi pelancongan.

“Sunset di sini pun cantik. Jadi, kita boleh tengok bagaimana kawasan ini dapat dipromosikan dan dimanfaatkan bukan sahaja untuk nelayan, tetapi juga sebagai tarikan pelancongan,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut mengumumkan insentif jaring nelayan berjumlah RM200 kepada 200 nelayan berdaftar di bawah DUN Telok Mas sebagai lambang keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap komuniti nelayan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

574
Kongsi :
Previous post ‘POHON RENDANG TEMPAT BERTEDUH, JANGANLAH DITEBANG’
Next post MELAKA TERBUKA BENTUK GABUNGAN ‘BN PLUS’ – AB RAUF