‘POHON RENDANG TEMPAT BERTEDUH, JANGANLAH DITEBANG’

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

TELOK MAS 2 Ogos – Kerajaan Negeri akan terus menjadi ‘pohon rendang’ yang menaungi dan menjadi tempat rakyat berteduh dengan memastikan kesinambungan pentadbiran demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rakyat merupakan asas kepada kekuatan sesebuah kerajaan dan tanpa sokongan serta kepercayaan mereka, kepimpinan negeri tidak akan mampu melaksanakan agenda pembangunan yang dirancang.

“Kita ini ibarat pohon yang rendang, tempat rakyat berteduh. Janganlah ditebang pokok ini, sebaliknya kita baja supaya terus subur dan memberikan manfaat kepada rakyat.

“Seperti lawatan saya ke Tanjung Nibong ini, bila saya turun baru tahu cantik sungguh jeti nelayan ini hasil usaha wakil rakyat yang pandai mencari peluang untuk membangunkannya. Jadi kalau benda sudah cantik, jangan fikir banyak-banyak. Kita jaga elok-elok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ramah Mesra Bersama Nelayan Telok Mas sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Jeti Nelayan Tanjung Nibong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pegawai Kewangan Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Jelas Ab Rauf, siri jelajah berkenaan bukanlah program suka-suka, sebaliknya ia menjadi medan untuk beliau bersama barisan Exco Kerajaan Negeri turun padang melihat sendiri permasalahan serta keperluan rakyat.

Katanya, pendekatan itu penting kerana pemimpin tidak seharusnya hanya berada di pejabat, sebaliknya perlu turun melihat sendiri keadaan di lapangan bagi memahami masalah yang dihadapi masyarakat.

“Dalam program jelajah ini, memang saya cari orang kampung dan tanya apa masalah mereka. Cakaplah apa masalah, kita ambil tahu dan cuba selesaikan.

“Apa yang penting, kita dapat kenal dan tahu kaedah bagaimana hendak mengurus rakyat. Bukan sedap duduk di pejabat. Saya lebih rela datang melihat sendiri bagaimana keperluan rakyat supaya kita boleh selesaikan,” katanya.

Pada sesi ramah mesra itu, Ketua Menteri turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM200 kepada nelayan berdaftar di bawah DUN Telok Mas yang boleh digunakan bagi pembelian peralatan menangkap ikan dan sebagainya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

634
Kongsi :
Previous post PENGANJURAN SUKAN DUA JIWA SATU HATI TONJOL PERANAN TDM DI MATA RAKYAT
Next post RM1.38 JUTA PERKASA NELAYAN TANJUNG NIBONG