PENGANJURAN SUKAN DUA JIWA SATU HATI TONJOL PERANAN TDM DI MATA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SUNGAI UDANG 2 Ogos – Inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2026 membantu memastikan Tentera Darat Malaysia (TDM) terus relevan di mata rakyat walaupun negara berada dalam suasana aman.

Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Sani S Omar berkata, Melaka merupakan antara Kerajaan Negeri yang membuka ruang kepada TDM  untuk lebih mendekati rakyat menerusi pelbagai program bersama.

“Inisiatif ini memperlihatkan Tentera Darat Malaysia masih relevan di mata rakyat dalam waktu aman.

“Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan juga Kerajaan Negeri Melaka kerana inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2026 di Pavilion Kem Terendak, di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, kejohanan penutup sukan berkenaan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, TDM amat menghargai peluang yang diberikan Kerajaan Negeri untuk menganjurkan kejohanan itu tanpa sebarang kos meskipun pihaknya mempunyai kekangan daripada segi peruntukan.

“Kami melihat inisiatif Kerajaan Negeri Melaka ini sebagai peluang terbaik untuk memperkukuhkan hubungan tentera dan orang awam.

“Apabila ditawarkan untuk menganjurkan Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan kejohanan sukan antara badan beruniform tanpa sebarang kos, saya amat berbesar hati.

“Kami mempunyai sumber tenaga manusia, namun ada limitasi daripada segi bajet, jadi inisiatif ini memberi peluang kepada kami untuk bersama-sama rakyat dan badan beruniform yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post KEM TERENDAK SAKSI KESERASIAN TENTERA DAN MASYARAKAT