Melaka terima RM25 juta pulihara tapak warisan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 28 Julai – Kerajaan Negeri menerima peruntukan berjumlah RM25 juta daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan (Motac) bagi Program Pemeliharaan Tapak Warisan Dunia Yang Diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menyambut baik perkara itu Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan diterima akan digunakan untuk aktiviti memulihara bangunan dan monumen warisan Negeri Melaka.

Katanya antara lokasi berkenaan adalah Bangunan Stadhuys; Gereja St Paul, Porta de Santiago, Bastion Middelburg dan Bastion Victoria.

Selain itu, jelasnya, peruntukan itu juga bagi menjalankan kajian di Tapak Warisan Dunia.

“Dengan peruntukan ini, Kerajaan Negeri dapat merancakkan promosi, menaik taraf produk pelancongan termasuk bangunan-bangunan terbiar di kawasan Tapak Warisan Dunia sebagai persediaan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dengan sasaran sehingga 18.7 juta pengunjung.

“Menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan sejarah, warisan dan budaya utama di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Penyampaian ‘mock cheque’ kepada Ab Rauf mewakili Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Pulau Pinang menerusi Ketua Menterinya Chow Kon Yeow disempurnakan Menteri Pelancongan Seni dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing.

Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Georgetown, Pulau Pinang pada 28 Julai lalu itu turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1240
Kongsi :
Previous post Longkang tidak diselenggara punca banjir kilat
Next post Rumah ‘reput’ berwajah baharu
Ubah saiz-+=