Melaka tertinggi kutip e-sisa

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 3 Dis. – Melaka merekodkan 56,823 kilogram (kg) kutipan sisa pembuangan bahan elektrikal dan elektronik (e-sisa) bermula 12 Oktober sehingga 21 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Rosli Osman berkata, kutipan itu sekali gus menjadikan Melaka negeri tertinggi mengumpul e-sisa berbanding negeri lain.

“Kutipan ini hasil kerja keras dan komitmen guru-guru serta pelajar yang melibatkan sebanyak 61 buah sekolah selain pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut mengambil bahagian.

“Usaha ini menerusi Pertandingan Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan PBT,” katanya.

ROSLI (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Melaka pada majlis tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2020 di Menara Persekutuan, hari ini.

Jelasnya, fokus utama HASN untuk mengajak seluruh masyarakat khususnya di Negeri Melaka bersama-sama melestarikan alam sekitar.

“Kita tetapkan tiga mesej utama iaitu pengumpulan e-sisa, kempen hindar penggunaan plastik sekali guna dan kempen menghijaukan bumi dan menanam pokok.

“Usaha ini mencerminkan bahawa penjagaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama sesuai dengan temanya ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’,” katanya.

Katanya, bermula 2021, Kementerian Alam Sekita dan Air (KASA) menetapkan setiap hari Sabtu terakhir setiap bulan akan menjadi hari pengumpulan e-sisa.

Pada majlis itu turut diadakan penyampaikan hadiah bagi Pertandingan e-sisa, Pertandingan ‘Waste To Art’ dan Pertandingan Kuiz Alam Sekitar.

Views:

581
Kongsi :
Previous post RM1.17 bilion telah dibelanja tangani COVID-19
Next post Lebih 90 peratus penginapan pekerja asing tidak patuhi Akta 446
Ubah saiz-+=