RM1.17 bilion telah dibelanja tangani COVID-19

Masa Membaca:55 Saat

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu Kementerian Kesihatan (KKM) telah membelanjakan RM1.17 bilion bagi menangani pandemik COVID-19 setakat 31 Okt lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata perbelanjaan itu yang meliputi RM1 bilion diluluskan Kementerian Kewangan dan peruntukan sedia ada adalah bagi pembelian peralatan, bekalan perubatan, barangan pakai habis, kelengkapan perlindungan diri (PPE), reagen dan test kit serta lain-lain perkhidmatan untuk mengawal wabak berkenaan.

“Peruntukan itu digunakan di kesemua fasiliti KKM termasuk hospital, klinik kesihatan dan klinik pergigian,” katanya menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai jumlah perbelanjaan kementerian menangani COVID-19 bagi tempoh 18 Mac hingga 31 Okt lepas.

Menurut Aaron, sebahagian besar perbelanjaan itu juga melibatkan bayaran Elaun Khas COVID-19 kepada petugas barisan hadapan KKM berjumlah RM275 juta, pembelian PPE (RM262 juta) serta pembelian reagen dan test kit serta bayaran outsource perkhidmatan makmal swasta untuk ujian saringan COVID-19 (RM210 juta).

Jumlah itu tidak termasuk bayaran emolumen petugas kesihatan yang terlibat dalam rawatan, kawalan dan pencegahan wabak COVID-19 yang mana telah diperuntukkan di bawah peruntukan sedia ada KKM, katanya.

— BERNAMA

Views:

238
Kongsi :
Previous post Hampir 100,000 hilang kerja akibat COVID-19
Next post Melaka tertinggi kutip e-sisa
Ubah saiz-+=