Melaka tetapkan tanah perkuburan COVID-19 berpusat

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 4 Ogos – Kerajaan negeri bersetuju untuk memusatkan tanah perkuburan Islam khusus bagi jenazah pesakit COVID-19 di Tanah Perkuburan Islam Bidadari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ayer Keroh.

Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu dipersetujui menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 semalam.

Bagaimanapun, katanya urusan pengebumian jenazah COVID-19 ke lokasi itu perlu mendapatkan kebenaran waris terlebih dahulu.

“Mungkin ada bantahan daripada waris, justeru itu kita akan kebumikan berdasarkan persetujuan mereka dahulu.

“Sekiranya waris bersetuju, lokasi pengebumian berpusat itu dicadangkan di Tanah Perkuburan Islam Bidadari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ayer Keroh.

“Kita tidak mahu menimbulkan kemarahan umat Islam apabila kita pusatkan secara keterpaksaan kerana masih ada lagi tanah perkuburan Islam yang kosong,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tanah Perkuburan Islam Bidadari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ayer Keroh.

Mengulas lanjut beliau berkata, perkara itu akan diperhalusi oleh MAIM yang akan memperincikan perbincangan bersama pihak hospital terbabit.

“Di peringkat jawatankuasa, perkara itu telah diluluskan dan kita minta MAIM berbincang secara terperinci mengenai pelaksanaannya pada masa akan datang,” katanya.

Rahmad berkata, perkara itu sebelum ini dalam peringkat cadangan berikutan terdapat kesukaran daripada petugas barisan hadapan yang mengendalikan jenazah pesakit COVID-19.

Katanya, antara alasannya termasuk bebanan kerja yang terpaksa ditanggung pertugas ketika mengendalikan jenazah berikutan kes kematian semakin meningkat setiap hari.

Tanah Perkuburan Islam Bidadari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ayer Keroh.

“Mereka terpaksa berkejar ke sana sini, adakalanya terpaksa menyelesaikan urusan pengebumian sehingga jam 1 pagi, jadi sekiranya ada tanah perkuburan berpusat ini, ini akan memudahkan,” katanya.

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keperluan untuk membuka tanah perkuburan Islam yang dikhususkan bagi pengebumian jenazah pesakit COVID-19 akan diteliti.

Jelasnya, perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti terlebih dulu bagi mendapatkan pandangan serta saranan berkenaan keperluan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2513
Kongsi :
Previous post Muhyiddin dedah ada desakan supaya campur tangan urusan mahkamah, bebas individu
Next post Lelaki warga Nigeria dihukum mati bunuh ketua jururawat
Ubah saiz-+=