Melaka tiada halangan benarkan bazar Ramadan tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 8 Mac. – Melaka mungkin membenarkan penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini selaras dengan inisiatif Melaka Bebas Berniaga seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri Melaka 2021 sebelum ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bagaimanapun berkata, kebenaran itu bergantung kepada situasi semasa pandemik COVID-19 pada waktu tersebut.

Menurutnya, sekiranya kes baharu COVID-19 terus berkurangan, pihaknya tiada halangan untuk memberikan ‘lampu hijau’ kepada bazar itu kembali beroperasi selepas tahun lalu tiada bazar Ramadan dibenarkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita boleh benarkan operasi bazar Ramadan tetapi ia bergantung juga kepada situasi dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jika MKN beri kebenaran, jadi kita pun tak nak ketinggalan untuk membenarkan bazar ini beroperasi di Melaka.

“Sejujurnya, saya suka melihat kemeriahan pada Ramadan dan begitu juga rezeki yang akan dilimpahkan di bulan yang mulia itu, lebih-lebih lagi sembilan dari pintu rezeki adalah berniaga,” katanya.

Beliau berkata, demikian dalam sidang media selepas melancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

630
Kongsi :
Previous post 1,976 responden bantu realisasikan PSMJ 2035
Next post Pemerkasaan wanita akan terus jadi agenda penting negara
Ubah saiz-+=