1,976 responden bantu realisasikan PSMJ 2035
AYER KEROH 8 Mac – Seramai 1,976 responden dari peringkat akar umbi turut serta menyumbang buah fikiran sepanjang penghasilan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang dilancarkan secara rasmi hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pendekatan ‘bottom up’ atau dari bawah ke atas itu dilakukan sebagai satu gerak kerja penghasilan PSMJ 2035 yang mana pihaknya telah membuka peluang kepada orang ramai untuk memberikan maklum balas atau pendapat berhubung pelan berkenaan.
Jelasnya, ia dilakukan bagi memastikan keberkesanan sesuatu dasar itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus merealisasikan pelan yang dirangka untuk tempoh 15 tahun itu.
“Kita turun ke bawah, jumpa orang ramai secara rawak dari bawah dan bawa semula ke atas sepanjang proses menghasilkan dokumen ini.
“Dan dari atas, kita akan maklumkan tentang kejayaan itu kepada peringkat akar umbi. Jadi, gabungan kedua-dua ini sangatlah penting dalam merealisasikan PSMJ 2035 ini,” katanya dalam sidang media selepas melancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Sulaiman menambah, daripada 1,976 responden yang turut serta dalam maklum balas PSMJ 2035, seramai 98.3 peratus responden bersetuju bahawa dokumen yang dihasilkan itu perlu dipantau dan dinilai pencapaiannya pada setiap suku tahun.
Selain itu, 79 peratus daripada keseluruhan responden pula, ujarnya melaungkan keyakinan bahawa PSMJ 2035 akan berjaya dilaksanakan.
“Ini satu permulaan yang baik kerana kita akan sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Sulaiman turut merakamkan penghargaan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka (UPEN) serta jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam mendokumentasikan pelan strategik itu sehingga menjadi kenyataan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.