Melaka tidak perlu import bekalan ayam – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 27 November – Tidak ada keperluan untuk mengimport bekalan ayam dari luar Melaka berikutan jumlah bekalan makanan asas itu di negeri ini mencukupi.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Choo Chin berkata, setakat ini Negeri Melaka merupakan salah satu negeri pengeluar bekalan ayam yang terbesar di Malaysia.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, kementerian terlibat sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam rantaian pengeluaran makanan terutama bekalan ayam serta telur ayam dalam memastikan bekalan ini stabil dan mencukupi.

“Selain itu, kerajaan juga menyediakan insentif pembiayaan dana pusingan kepada penternak kecil dan sederhana serta Skim Mikro Kredit untuk bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti selain program transformasi reban ayam terbuka kepada tertutup supaya bekalan ayam sentiasa mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) mengenai jumlah import dan pengeluaran bekalan ayam di negeri ini pada Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Allex Seah berkata KPDN negeri juga akan terus melaksanaan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi memastikan tiada aktiviti menyorok barangan kawalan harga.

“Kerajaan Negeri akan memastikan penguatkuasaan ini sentiasa dilaksanakan bagi memastikan peniaga, pengeluar, pemborong dan peruncit tidak mengambil kesempatan menyorok bekalan barang kawalan serta menaikkan harga yang tidak munasabah.

“Justeru, kita akan memastikan pengguna menikmati harga ayam berpatutan menerusi program-program jualan yang dilaksanakan kerajaan sepanjang masa, sekali gus menangani isu bekalan ayam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post ‘Menelusuri Warisan, Mengembalikan Kegemilangan’ tema Bajet 2024 Negeri Melaka
Next post Melaka negeri contoh pengurusan penempatan buruh 
Ubah saiz-+=