Melaka wajibkan rumah kos rendah di projek perumahan baharu

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TANJUNG BIDARA 4 Februari – Semua pemaju yang mahu membuka kawasan perumahan baharu di Negeri Melaka diwajibkan membina rumah kos rendah.

Ketetapan itu dimaklumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi membolehkan rakyat, khususnya golongan B40 memiliki rumah sendiri.

Menurutnya, perkara itu diputuskan menerusi dasar perumahan Negeri Melaka yang baharu, di mana tiada lagi pengecualian diberikan kepada pemaju bagi membina rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Berbanding kaedah terdahulu, kebanyakan rumah-rumah kos rendah ini sering terlepas pandang sedangkan ia menjadi satu keperluan untuk rakyat membeli dan memiliki rumah sendiri.

“Jadi, saya akan membuat perkiraan baharu berdasarkan permintaan dan perbekalan yang mana setiap kawasan perumahan baharu, kita akan meminta agar rumah kos rendah dibina mengikut keperluan.

“Seperti contoh, jika menerima 100 permintaan daripada rakyat atau masyarakat, maka sebanyak 100 unit rumah kos rendah juga akan dibina di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Penyerahan Rumah Bagi Projek Perumahan ‘Better Brighter Home @ Baiti Jannati’ TNB 2023 Peringkat Negeri Melaka Serta Penyerahan Sumbangan TNB di Kampung Lubuk Redan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, berdasarkan pematuhan baharu itu, ia tidak akan membebankan pemaju dalam aspek aliran tunai memandangkan kuota rumah yang dibina adalah mengikut permintaan.

“Apa yang pasti, pemaju tidak akan rugi dan pada masa sama dapat membantu masyarakat dalam kawasan tersebut membeli rumah mengikut kemampuan mereka.

“Ketetapan ini kita telah mulakan dan saya harap semua golongan tidak akan tertinggal daripada menikmati pembangunan perumahan yang selesa dan pesat dibangunkan.

“Ia juga menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan dan nasib rakyat tanpa meminggirkan mana-mana masyarakat yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

878
Kongsi :
Previous post Sinar baharu buat asnaf menjelang Ramadan
Next post 1,000 kaum Tionghoa Melaka terima angpau Tahun Baru Cina
Ubah saiz-+=