Sinar baharu buat asnaf menjelang Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 4 Februari – Nasib seorang asnaf yang merupakan ibu tunggal lima anak di Kampung Lubuk Redan, di sini, mendapat perhatian apabila menerima sumbangan sebuah rumah percuma daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Baiti Jannati itu membolehkan Rohani Karim, 60 menerima ‘syurga’ baharu berupa rumah tiga bilik pada harga RM65,000, selain sumbangan sistem perparitan dan kumbahan berjumlah RM15,000.

Menurutnya, bantuan yang diberikan itu amat besar nilainya, terutama dalam memberi sinar kepada asnaf menjelang Ramadan dan Syawal yang akan tiba tidak lama lagi.

“Saya dimaklumkan sehingga kini, sebanyak 37 buah rumah telah siap dibina menerusi program Baiti Jannati di seluruh Negeri Melaka sejak program itu diperkenalkan.

“Terima kasih kepada TNB kerana tidak putus-putus mencari asnaf-asnaf yang memerlukan di negeri ini.

“Saya berharap sumbangan ini akan diberikan sama rata di setiap Parlimen dalam Negeri Melaka supaya peranan TNB ini dirasai semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Penyerahan Rumah Bagi Projek Perumahan ‘Better Brighter Home @ Baiti Jannati’ TNB 2023 Peringkat Negeri Melaka Serta Penyerahan Sumbangan TNB di Kampung Lubuk Redan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Negeri (Melaka) TNB Khairizam Ibrahim.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menggalakkan lebih banyak syarikat, khususnya agensi-agensi kerajaan untuk turut bersama dalam program CSR seperti ini bagi menyantuni asnaf seluruh Negeri Melaka.

“Terutamanya kepada agensi yang berpendapatan cukup baik yang boleh memberikan sumbangan zakat mereka seperti apa yang dilakukan oleh TNB menerusi program Baiti Jannati ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

746
Kongsi :
Previous post ‘Anak hanya minta kasut, beg sekolah murah’
Next post Melaka wajibkan rumah kos rendah di projek perumahan baharu
Ubah saiz-+=