Sorting by

×

Melaka Week rancakkan pelaburan Malaysia dan UAE – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

DUBAI 15 Mac – Hubungan perdagangan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bukan satu perkara baharu sehubungan itu Melaka Week di Expo 2020 Dubai diharap menjadi jambatan dalam usaha meningkatkan lagi nilai pelaburan pada masa akan datang.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, berdasarkan dagangan bilateral, UAE adalah rakan dagang utama ke-16 dan negara destinasi eksport ke-18 serta negara sumber import ke-16 Malaysia pada tahun 2021.

Katanya, dalam kalangan negara Asia Barat, UAE adalah rakan dagangan terbesar dan kedua terbesar destinasi eksport selepas Turki manakala negara kedua terbesar sumber import selepas Arab Saudi.

“Sehubungan itu, pengeksport negara memerlukan UAE memasarkan beberapa produk keluaran negara seperti emas, kenderaan bermotor, perabot, makanan dan minuman serta barangan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada Majlis Makan Malam Meraikan Komuniti Perniagaan Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sebuah hotel di Dubai, bersempena Melaka Week di Expo 2020 Dubai, malam semalam.

Hadir sama pada majlis itu Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Mohd Tarid Sufian, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Bin Johari dan EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman.

Kenamaan lain turut hadir adalah  Konsul Jeneral Malaysia di Dubai Mohd Hasril Abdul Hamid dan Presiden Malaysian Business Council (MBC) UAE Fahmy Ansara Dahalan.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, projek koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang dibangunkan setahun lalu dijangka menjadikan negeri itu sebagai hub pelaburan terpenting di Asia Tenggara.

“Kami sedang mencari pelabur tempatan dan antarabangsa untuk menjadikan tapak seluas 25,000 ekar (1,011 hektar) itu menjadi tempat yang meriah untuk menjalankan perniagaan dan penempatan serta pekerjaan.

“M-WEZ juga mempunyai kawasan baharu khusus untuk produk pelancongan, zon bebas cukai, pasar raya, pejabat, hotel dan kediaman serta Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0),” katanya.

Justeru katanya, beliau mengalu-alukan kedatangan rakyat UAE untuk berkunjung ke Melaka dan meneroka sendiri tarikan lokasi bersejarah terkenal pada abad ke-15 dan ke-16 serta merasai pengalaman kepelbagaian budaya di Melaka.

“Saya mengharapkan kerjasama lebih erat daripada agensi pelancongan dan syarikat penerbangan UAE untuk merebut peluang perniagaan yang ditawarkan oleh kerajaan Melaka dan Malaysia secara amnya bagi membawa seramai mungkin pelancong datang ke negeri bersejarah itu,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1036
Kongsi :
Previous post Penubuhan PIP bakal rancakkan perdagangan Malaysia-Thailand- Ismail Sabri
Next post Polis tahan dua beranak, rampas dadah bernilai RM1.95 juta
Ubah saiz-+=