Menara Taming Sari ‘hidupkan’ aura larut malam Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDA HILIR 2 Jun – Menara Taming Sari menjadi antara produk pelancongan yang menerima tempias positif daripada Program Bila Larut Malam yang diperkenalkan Kerajaan Negeri pada Sabtu pertama setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nasrul Ahmad memaklumkan, pada edisi pertama Bila Larut Malam, lebih 1,300 pengunjung dan pelancong telah menikmati tawaran istimewa pembelian tiket pada harga RM10 sahaja, selain percuma satu bagi pembelian empat tiket.

Katanya, selain menikmati keindahan panorama Bandaraya Melaka dari atas menara berputar 360 darjah setinggi 70 meter itu, pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai ‘pocket show’ yang disediakan.

“Antara yang mencuri tumpuan adalah ‘mini ghost museum’ serta persembahan ‘buskers’, selain gerai pelbagai jenis jualan yang disediakan.

“Untuk edisi akan datang, kita akan membuat lebih banyak penambahbaikan dari sudut ‘pocket show’ ini termasuklah membawakan persembahan kebudayaan daripada pelbagai etnik yang ada di Melaka,” katanya kepada pemberita.

Menurut Nasrul, pihaknya turut bercadang menambah baik penjualan tiket dengan memperkenalkan kaedah pembelian secara dalam talian pada edisi akan datang.

Selain itu, jelasnya, jualan tiket untuk Program Bila Larut Malam juga dicadang akan dijual sehari atau dua hari lebih awal bagi memberi keselesaan kepada pengunjung tanpa perlu beratur panjang untuk membeli tiket secara fizikal.

“Penambahbaikan ini dapat membantu dari sudut teknikal yang mana kita juga dapat menambah kapasiti pengunjung kepada 60 hingga 65 orang pada satu-satu masa, berbanding 50 yang ditetapkan sekarang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

55
Kongsi :
Previous post Wanita, bayi dalam kandungan maut nahas motosikal, MPV
Next post Melaka atur persiapan rapi bagi Pameran Hang Tuah 
Ubah saiz-+=