Mengaku adik-beradik elak ditahan JAIM

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KLEBANG 24 Januari – Seorang lelaki berbohong dengan mendakwa teman wanitanya sebagai adik kandung bagi mengelakkan daripada dicekup pengkuat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam kejadian di sebuah hotel bajet di Klebang, di sini, jam 3 pagi kelmarin.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, lelaki berusia 20-an itu berkali-kali menyakinkan pihaknya bahawa remaja perempuan bersamanya di dalam bilik hotel berkenaan adalah adik kandungnya.

Terdahulu ketika mahu menjalankan pemeriksaan pihaknya terpaksa menunggu lebih 10 minit sebelum pintu bilik hotel itu dibuka oleh pemuda berkenaan.

“Meskipun berkali-kali mendakwa pasangannya itu sebagai adiknya, namun dia gagal memberikan sebarang bukti atau mengemukakan dokumen sah.

“Bagaimanapun, selepas hampir lima minit mereka akhirnya mengaku bukan adik-beradik dan bermalam di situ untuk berehat,” katanya kepada pemberita.

Che Shukri berkata, pemuda dan remaja perempuan itu antara 10 pasangan kekasih yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena Tahun Baharu Cina membabitkan kawasan Simpang Ampat dan Rumbia, Alor Gajah.

Katanya mereka yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 56 kemudian dibawa ke Pejabat JAIM untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.

“Jika disabitkan kesalahan enakmen memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

“Kejayaan serbuan diadakan kali ini adalah hasil kerjasama orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASIM) yang menyalurkan maklumat, sekali gus membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral serta maksiat.

“JAIM mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2423
Kongsi :
Previous post Lima lagi PPS dibuka, mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,093 orang
Next post 1,312 kemalangan hari keenam Op Selamat 19
Ubah saiz-+=