Mercun RM20,000 ditinggalkan dalam kereta

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PASIR MAS, 9 April – Polis merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM20,000 daripada sebuah kereta Toyota Camry yang ditinggalkan pemandunya dekat Kampung Chica Tinggi, di sini 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata bagaimanapun pemandu kereta yang diekori anggota unit kereta peronda (MPV) berjaya meloloskan diri ke dalam semak berdekatan sebaik memberhentikan kereta di tepi jalan.

Beliau berkata kes dikesan selepas anggota unit kereta peronda (MPV) telah terserempak dengan kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan itu di Simpang Tiga Batu Karang dari arah Rantau Panjang ke Pasir Mas kira-kira pukul 9 pagi.

“Anggota MPV kemudian mengekori kereta tersebut sambil mengarahkan supaya berhenti untuk pemeriksaan tetapi pemandunya terus memecut laju sejauh 10 kilometer sebelum berhenti secara mengejut di Kampung Chica Tinggi sebelum pemandunya keluar melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya anggota polis cuba mengesan suspek namun gagal menemui pemandu kereta itu yang melarikan diri ke dalam semak berdekatan.

Mohd Nasaruddin berkata pemeriksaan ke atas kereta yang ditinggalkan menemukan ada 13 kotak besar berwarna coklat mengandungi pelbagai jenis mercun.

“Polis percaya kesemua mercun itu diseludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di Sungai Golok untuk dijual di sini sempena musim perayaan.

“Antara mercun yang dirampas ialah ‘Rich Flower, Thunder K, Gettering Thunder K’ dan pelbagai lagi yang bernilai RM20,000,” katanya yang percaya akan ada banyak lagi cubaan menyeludup mercun menjelang perayaan Aidilfitri.

Katanya Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2715
Kongsi :
Previous post Penyakit Demam Babi Afrika dikesan di Negeri Sembilan
Next post KPDNHEP baiki mekanisme subsidi, cari alternatif kurangkan ketirisan
Ubah saiz-+=