
MERIAHNYA RAYA DI MACHAP JAYA
MACHAP JAYA 19 April – Kira-kira 2,500 tetamu hadir memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya yang berlangsung di Balairaya Taman Melaka Perdana, di sini, malam tadi.
Meskipun dianjurkan di lokasi berbeza berbanding dua penganjuran sebelum ini yang diadakan di Japerun Machap Jaya, namun kemeriahannya tetap sama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, penganjuran rumah terbuka kali ini diadakan secara berasingan di 10 UMNO Cawangan di bawah DUN Machap berbanding sebelum ini diadakan secara besar-besaran di satu lokasi.
“Untuk sambutan kali ini kita turun ke cawangan-cawangan dan sambutan dalam kalangan masyarakat tetap meriahkan apabila di Balairaya Taman Melaka Perdana ini dihadiri kira-kira 2,500 tetamu.
“Menerusi penganjuran dari cawangan ke cawangan ini hubungan dengan penduduk begitu juga pemimpin terasa lebih dekat dan mesra,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Machap Jaya turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, penganjuran rumah terbuka Aidilfitri juga merupakan platform terbaik dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum, sekali gus memelihara keharmonian komuniti setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.