Merlimau: Dr Akmal mahu wujudkan ‘floating market’

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MERLIMAU 16 Nov – Pembinaan pasar terapung atau ‘floating market’ di kuala sungai Merlimau menjadi antara agenda yang akan dilakukan calon Barisan Nasional, Dr Muhamad Akmal Saleh sekiranya diberi mandat oleh penduduk kawasan itu.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada agenda memperkasa pelancongan yang terkandung dalam aku janji beliau kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri Melaka.

“Di Merlimau, banyak tarikan yang boleh kita bangunkan terutama dalam sektor eko pelancongan bagi membangun serta memperkasa ekonomi penduduk di sini,” katanya dalam satu hantaran video di laman Facebook rasminya.

Mengulas lanjut aku janji yang ditawarkan, Dr Akmal berkata, pihaknya juga merancang untuk membangunkan sebuah ekstrem park untuk anak muda serta pusat rekreasi keluarga di kawasan itu.

Katanya, ia membolehkan anak muda serta keluarga di Merlimau mempunyai satu tempat khusus untuk melakukan aktiviti sukan dan riadah.

“Selain itu, pembinaan rumah mampu milik juga menjadi antara aku janji yang sertakan kerana saya mahu memastikan rakyat di Merlimau mampu membeli rumah yang selesa dan memiliki sekurang-kurangnya satu rumah.

“Pada masa sama, saya juga berjanji untuk menaik taraf capaian internet di Merlimau memandangkan masih terdapat beberapa kawasan yang tidak mendapat capaian internet berkelajuan tinggi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Akmal turut memberi jaminan akan memastikan projek tebatan banjir di Merlimau akan disegerakan sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

872
Kongsi :
Previous post Ayer Molek: Naik motosikal, cari masalah rakyat
Next post 1,010 pelajar baharu Politeknik Merlimau kembali ke kampus
Ubah saiz-+=