MIC tampil 50 peratus calon baharu

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 22 Sept – MIC akan menampilkan lebih 50 peratus calon muka baharu untuk disenaraikan bagi mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Timbalan Presidennya Datuk Seri M Saravanan berkata calon muka baharu yang disenaraikan itu bertepatan dengan hasrat Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran yang mahu meletakkan calon daripada generasi muda supaya mampu membawa aspirasi golongan belia sekali gus berpotensi membawa kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun katanya, senarai calon baharu itu masih belum dimuktamadkan berikutan ia perlu melalui beberapa proses sekiranya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan PN mahupun Muafakat Nasional (BN).

“Presiden telah menyatakan lebih 50 peratus akan dinamakan untuk muka baharu sebab kita lihat perubahan-perubahan landskap politik negara telah berubah.

“Kita akan memerhati perkembangan semasa atau keputusan di Negeri Sabah dari segi daya pemikiran warga Malaysia dan kemudian MIC akan pastikan kita letak calon muda yang boleh mewakili MIC dan aspirasi golongan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Badan Perhubungan MIC negeri ke-74,di sini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan MIC Melaka Datuk MS Mahadevan dan Senator, Datuk T. Mohan.

Seramai 450 ahli dari 130 cawangan MIC di negeri menghadiri konvesyen.

Terdahulu, Saravanan turut mewakili Presidennya menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Badan Perhubungan MIC Melaka.

Ketika ditanya mengenai penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, beliau berkata pihaknya menerima keputusan pembahagian satu kerusi sahaja memandangkan negeri ini mempunyai jumlah masyarakat India yang tidak ramai.

“Di Melaka, kita rasional sebab kerusi MIC satu sahaja, dan ia kekal dengan satu sebab negeri kecil.

“Masyarakat India tidak terlalu ramai, dan kerajaan sebelum ini memang memberikan keutamaan kepada masyarakat dengan memberi mereka untuk bertanding untuk kerusi DUN, kita akan kekalkan kerusi DUN itu,” katanya.

Views:

276
Kongsi :
Previous post Pekerja bayar cukai LHDN perlu diberi kelonggaran – Saravanan
Next post MPP UiTM Melaka anjur kempen derma darah
Ubah saiz-+=