MISDEC lakar sejarah anjur konvokesyen pertama selepas 28 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Jun – Buat julung kalinya selepas 28 tahun bertapak di Melaka, Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC) meraikan graduannya dalam Majlis Konvokesyen di Hotel La Crista, hari ini.

Pegawai Kewangan Melaka , Datuk Salhah Salleh berkata, seramai 158 graduan daripada dua program mengukir nama dalam lipatan sejarah pusat berkenaan menerusi majlis berkenaan.

Katanya, graduan-graduan tersebut merupakan penuntut dalam bidang Pengajian Workforce Technical Transformation Programme (WTTP) dan Industrial Skills Enhancement Program (INSEP) yang merangkumi tiga kursus antaranya Eksekutif Produk Halal, Juruteknik Automasi dan Program Perantis Halal (HAP).

“Selepas 28 tahun bertapak di Melaka, MISDEC mencipta sejarah apabila meraikan graduannya dalam satu majlis konvokesyen secara rasmi.

“MISDEC ini mendapat peruntukkan daripada kerajaan persekutuan dalam memberi latihan dan ilmu untuk melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing dan sudah pasti ramai antara graduan MISDEC ini telah dibidik oleh syarikat luar Melaka dan itu satu kebanggaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Konvokesyen MISDEC di Hotel La Crista di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MISDEC Don Mardzi Ahmad Shamsuddin, Pengurus Besar MISDEC Haikal Syukri Jantan dan kenamaan lain.

PARA graduan bergambar bersama selepas Majlis Konvokesyen MISDEC di Hotel La Crista.

Majlis Konvokesyen itu turut menyampaikan Anugerah Pelatih Terbaik kepada Muhammad Asyraaf Azman dan Norhidayah Sapian.

Mengulas lanjut, Salhah berkata dari segi penambahbaikan buat MISDEC, beliau turut mencadangkan pusat berkenaan untuk menambah kursus pengurusan baharu khususnya melibatkan projek kerajaan negeri.

“Selain daripada program yang sedia ada, kita harap ada kursus-kursus baharu yang berkaitan dengan projek kerajaan negeri sebagai penyediaan dalam melaksanakan pelabuhan-pelabuhan, teknologi digital dan yang berkaitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1939
Kongsi :
Previous post Malaysia sedang kenal pasti ubat rawat denggi – Khairy
Next post Bekalan tepung gandum dalam negara mencukupi – KPDNHEP
Ubah saiz-+=