Misteri beg hitam dalam kereta

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 17 Sept. – Kebakaran sebuah kereta yang diletakkan di hadapan bengkel kenderaan di Kawasan Perindustrian Ringan Pulau Sebang, di sini, membawa kepada penemuan mayat, hari ini.

Kewujudan sebuah beg hitam yang berisi mayat itu disedari sepasukan bomba yang memadam kebakaran kira- kira jam 7.20 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pihaknya yang menerima maklumat pada jam 7.25 pagi kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kenderaan yang terbakar itu adalah sebuah Honda Civic Ferio.

“Beg hitam itu berada dibahagian penumpang belakang dan pihak bomba yang mengesyaki terdapat mayat kemudian menghubungi polis.

“Daripada keterangan pemilik bengkel, kereta itu dikatakan rosak pada Selasa kira-kira jam 4 petang sebelum dia bersama pekerjanya mengambil kenderaan terbabit di RnR Jejantas Ayer Keroh,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan oleh pemilik bengkel, kereta tersebut dibawa seorang lelaki, bagaimanapun tiada sebarang bayaran membabitkan kos trak penunda dibuat oleh individu itu.

“Oleh itu kereta tersebut diletakkan di hadapan bengkel tanpa sebarang tindakan dibuat kerana tiada sebarang perjanjian pembaikian dibuat.

“Polis kini sedang giat mengesan lelaki yang dikatakan memandu kereta terbabit pada Selasa bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Nor Yhazid berkata, siasatan lanjut masih dijalankan selain mayat berkenaan dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti identitinya.

Views:

336
Kongsi :
Previous post PM sambut baik usaha kerajaan negeri bangunkan M-WEZ
Next post Penyelidik jangka temui lebih banyak artifak di Pulau Melaka
Ubah saiz-+=