MOTAC sasar sektor kebudayaan sumbang RM300 juta tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 6 Ogos – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan pendapatan negara dalam sektor kebudayaan mencecah RM300 juta tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Santhara J.P berkata, sumbangan sektor berkenaan dijangka meningkat berbanding RM241 juta dan RM261 juta dua tahun sebelumnya susulan lebih banyak kelonggaran diberikan kerajaan tahun ini.

“Sektor kebudayaan telah menunjukkan prestasi yang amat baik dalam menyumbang kepada pendapatan negara. Pada tahun 2019 sektor kebudayaan telah menyumbang pendapatan negara sebanyak RM585 juta.

“Meskipun begitu, pada tahun 2020 pendapatan sektor berkenaan menyusut kepada RM241 juta sebelum meningkat sebanyak RM20 juta kepada RM261 juta pada tahun lalu.

“Sektor ini walaupun berdepan dengan cabaran getir, namun saya percaya jumlah pendapatan akan terus meningkat pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala ‘Magic Of The Night’ 2022: Maddana Di Bumi Bertuah di Dataran Sungai Melaka, di sini malam ini.

Majlis itu telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan gimik perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Santhara berkata, tahun ini, MOTAC menyasarkan kedatangan 4.5 juta pelancong antarabangsa dengan perolehan pendapatan sebanyak RM11.1 bilion.

Katanya, untuk merealisasikan sasaran itu, pelbagai strategi serta inisiatif telah dan sedang diambil oleh seluruh jabatan serta agensi di bawah MOTAC bagi menarik kedatangan pelancong luar ke Malaysia.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1525
Kongsi :
Previous post TLDM sokong siasatan ketirisan projek kapal, pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan
Next post Serlah seni, budaya Keluarga Malaysia – KM
Ubah saiz-+=