MOTAC sedia dengan SOP gelembung perjalanan sambut pelancong

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 22 Mac. – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersedia dari segi prosedur operasi standard (SOP) untuk melaksanakan gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ dengan beberapa negara bagi memulihkan sektor pelancongan dan kebudayaan di Malaysia.

Menterinya Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, SOP itu diperhalusi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri serta Majlis Keselamatan Negara (MKN), boleh diguna pakai jika melawat ke negara luar.

Katanya, kementerian mengenal pasti enam negara bagi pelaksanaan gelembung perjalanan iaitu negara ASEAN seperti Singapura, Vietnam dan Brunei dan Asia Pasifik seperti Korea, Jepun dan Taiwan.

Dato’ Sri Hajah Nancy menjawab pertanyaan peserta pada Sesi Jerayawara DPN 2020-2030 melibatkan tiga negeri di Zon Selatan iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor .

“Kita sudah bersedia (SOP), tapi semuanya bergantung kepada negara lain juga. SOP ini boleh diguna pakai jika kita pergi ke negara luar. Jika mereka (buka pintu sempadan) kita sudah bersedia.

“Sebenarnya kita hanya mencadangkan SOP, tapi bukan pihak berkuasa yang menentukan bagi membuka sempadan negara dan kita mendapatkan pandangan pelbagai kementerian yang bertanggungjawab secara langsung untuk melihat isu berkaitan di negara lain.

“Contohnya berkaitan kes positif (COVID-19) negara, Kementerian Luar Negeri, KKM dan KDN adalah tiga kementerian utama bertanggungjawab menasihati sama ada aktiviti (travel bubble) boleh dibenarkan atau tidak. Apapun mereka benarkan kita buat persediaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sesi Jerayawara Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 membabitkan Zon Selatan iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian di sebuah hotel di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Dr. Noor Zari Hamat.

Untuk rekod travel bubble adalah salah satu pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan dirangka kerajaan sejak Julai tahun lalu dan SOP itu meliputi rentas sempadan oleh negara-negara yang selamat bagi memudahkan perjalanan dengan mengambil kira pandangan daripada agensi kesihatan negara masing-masing.

Sementara itu, Dato’ Sri Hajah Nancy berkata, dalam keadaan negara masih berdepan pandemik COVID-19, kementerian melihat ekopelancongan menjadi teras penting menarik kehadiran pelancong.

“Kita mahu apabila disebut ekopelancongan, nama yang terlintas difikiran mereka (pelancong) adalah Malaysia.

“Jelas banyak tempat-tempat ekopelancongan yang belum kita terokai. Jadi kita (mesti) merebut peluang ini dengan memperbaiki infrastruktur supaya orang mudah pergi ke tempat-tempat ekopelancongan yang kita kenal pasti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post Program Malaysia Prihatin beri kesedaran akar umbi cegah COVID-19
Next post Melaka catat 12 kes jangkitan baharu, sifar kematian
Ubah saiz-+=