MOVAK diteruskan jika ada keperluan

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

MACHAP 27 Okt – Pelaksanaan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) 2.0 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun hanya akan diteruskan sekiranya terdapat keperluan mengenainya pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, sekiranya ia perlu diteruskan disebabkan faktor pemberian dos penggalak vaksin maka pihaknya perlu mengenal pasti cara yang sesuai bagi mengerakkan program MOVAK selepas ini.

“Insya-Allah kita sedang mencari jalan bagaimana pendekatan yang kita hendak lakukan kerana vaksin penggalak ini, walaupun digalakkan, tetapi tidaklah menjadi arahan keseluruhan.

“Kita sedang lihat sekarang ini, sama ada kita akan meneruskan MOVAK ini kerana setakat ini lebih daripada 90 peratus rakyat sudah lengkap mengambil vaksin masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan program MOVAK Outreach 2.0 negeri Melaka yang turut dihadiri Exco Kesihatan Negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts Kamel Mohamad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Alor Gajah.

Program MOVAK 2.0 dilaksanakan di negeri ini bermula 13 Oktober lalu melibatkan 10 buah sekolah menengah iaitu enam di daerah Melaka Tengah manakala empat buah lagi dalam daerah Alor Gajah, dengan sasaran golongan remaja dan pelajar berusia 12 hingga 17 tahun.

Setakat Ahad lalu, sebanyak 33,136 dos telah diberikan kepada pelajar sekali gus merekodkan pencapaian keseluruhan pemberian dos bagi daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah sebanyak 97 peratus.

Mengulas lanjut mengenai rancangan pelanjutan MOVAK, Ismail berkata, ia terpulang kepada arahan kerajaan persekutuan dan kementerian yang terlibat.

“Saya difahamkan Pfizer tidak perlu dos penggalak, cuma Sinovac sahaja tetapi kita serahkan kepada keputusan kerajaan.

“Apa yang penting usaha mesti dilakukan untuk pastikan keadaan kembali pulih dan kalau boleh kita kembali seperti biasa dan bolehlah kita tumpu kepada usaha menangani isu kemiskinan, isu pendapatan dan rakyat boleh kembali bekerja dan lain-lain.

“Kita serahkan kepada kerajaan, terpulang kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan sebab jika kerajaan putuskan perlu mendapat suntikan ketiga maka kita akan bersama dalam soal ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post SOP menyelamat ketika banjir akan ditambah baik
Next post Sasterawan negara, Kemala meninggal dunia
Ubah saiz-+=