MPHTJ beri pengurangan sewa bernilai lebih RM296,000

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BUKIT KATIL 7 April. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memberikan insentif pengurangan 50 peratus bernilai lebih RM296,000 kadar sewa premis kepada peniaga di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya Datuk Shadan Othman berkata, insentif diberikan itu bertujuan meringankan beban penyewa yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata, seramai 491 penyewa menerima manfaat itu membabitkan 77 lokasi premis dan 715 gerai yang terbabit.

SHADAN bergambar bersama penyewa premis medan selera tersebut selepas program.

“Untuk makluman semua, hasrat Ketua Menteri Melaka supaya PBT (pihak berkuasa tempatan) di negeri Melaka mengambil inisiatif terhadap sama ada penjaja atau peniaga di gerai-gerai majlis.

“Maka hari ini, MPHTJ telah mengambil satu inisiatif di mana kita akan mengurangkan kadar sewa kepada peniaga gerai majlis sebanyak 50 peratus selama lima bulan daripada Disember 2020 hingga hujung bulan ini.

“Kadar sewa adalah mengikut tempat, ada RM500, RM300, RM700 dan RM100. Jadi semua gerai majlis kita akan kurangkan 50 peratus,” katanya pada sidang media selepas Program Prihatin Penyewa Premis MPHTJ di Medan Selera Saujana Indah di sini, hari ini.

Shadan berkata, pihak majlis sentiasa membantu dan mencari kaedah yang sesuai untuk membolehkan mereka yang berniaga diberikan kemudahan yang selesa.

“Kita memantau keadaan semasa (pandemik COVID-19). Kalau jadi seperti dulu (peningkatan kes), tidak boleh keluar dan sebagainya, kita akan bagi lagi insentif. Tapi sekarang sudah boleh berniaga,” katanya.

Pada program itu Shadan turut menyampaikan replika cek serta bil sewaan yang diberikan diskaun sewa kepada lima penyewa premis di Medan Selera Taman Saujana Indah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

861
Kongsi :
Previous post Penunggang motosikal maut terbabit kemalangan dengan lori
Next post Malaysia tunggu laporan EMA sebelum putuskan vaksin AstraZeneca- Khairy
Ubah saiz-+=