MPHTJ naik taraf Kompleks Tenis MITC

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 20 Mei – Kompleks Tenis Ayer Keroh atau dikenali sebagai Kompleks Tenis MITC (Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka) di sini akan ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf yang bermula 13 Mei lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata kerja-kerja menaik taraf itu menelan kos RM500,000 menggunakan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, tempoh pelaksanaan kerja menaik taraf secara keseluruhan adalah 12 minggu dengan jangkaan siap sepenuhnya pada awal Ogos depan.

“Kerja-kerja menaik taraf telah bermula dan kita jangka selepas ini Kompleks Tenis itu akan berwajah baharu serta dilengkapi fasiliti yang selesa buat pengguna.

“Gelanggang tenis turut dibaik pulih dan diubah semua strukturnya, selain itu kita turut tambah pencahayaan, lebih banyak lampu limpah akan dipasang, biar lebih terang pada waktu malam.

“Bahagian yang retak sekitar gelanggang termasuk bahagian dinding akan dibaik pulih,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Whatsapp Image 2024 05 20 At 5.05.51 Pm
ANTARA kerja-kerja awalan baik pulih persekitaran Kompleks Tenis MITC.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata kerja-kerja menaik taraf itu dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada pengguna gelanggang.

“Jika sebelum ini kita menerima banyak aduan daripada penggunjung atau pengguna mengenai pelbagai kerosakan dan keadaan kompleks yang kurang menyenangkan pengguna.

“Kita harap selepas ini kompleks yang berwajah baharu dan lebih selesa itu dapat menarik lebih ramai pengguna untuk beriadah di Kompleks Tenis itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

82
Kongsi :
Previous post Amanat perkasa MAIM, JAIM
Next post Polis siasat beberapa insiden sama ada tindakan rambang atau terkoordinasi – Saifuddin
Ubah saiz-+=