MPHTJ ‘ubah wajah’ Taman Botanikal Melaka

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 14 Ogos – Taman Botanikal Melaka sebelum ini mendapat kecaman orang ramai ekoran faktor persekitaran dan kebersihan yang tidak dijaga, kini berubah wajah selepas diuruskan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Yang Dipertua MPHTJ Shadan Othman berkata, pihaknya diberi tanggungjawab untuk mengambil alih urusan pembersihan taman rekreasi berkenaan selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu dan telah memulakan kerja-kerja pembersihan bermula minggu ini.

Menurutnya, selepas mengambil alih urusan pembersihan, lokasi tersebut kini lebih bersih dan selesa untuk dikunjungi orang ramai yang mahu beriadah.

“Sebelum ini, Taman Botanikal diuruskan oleh Jabatan Hutan, namun disebabkan mereka (Jabatan Hutan) tiada kepakaran pembersihan, itulah sebab keadaan menjadi sedemikian.

“Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam juga telah menegur perkara berkenaan dan selepas MPHTJ mengambil alih, Tun yang datang melawat kawasan ini telah berpuas hati dengan kerja-kerja pembersihan yang dilakukan.

“Jadi Alhamdulillah kerja-kerja itu akan kami teruskan dan boleh dikatakan tiada masalah lagi membabitkan isu kebersihan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Melaka Hari Ini menerima aduan daripada orang ramai yang kecewa dengan persekitaran Taman Botanikal Ayer Keroh yang tidak terbela, selain membiarkan sampah sarap tidak dibuang.

Views:

1105
Kongsi :
Previous post Ops Gajah: Pemilik lori ingkar kena kompaun
Next post Padah jual minyak Cap Kapak tiruan
Ubah saiz-+=