MPM cadang anjur kejohanan maya paralimpik

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PAYA RUMPUT 18 Dis. – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) merancang menganjurkan kejohanan secara maya untuk atlet paralimpik negara bagi mengisi ketiadaan sebarang aktiviti dan kejohanan sukan susulan penularan pandemik COVID-19.

Presidennya Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, perkara itu merupakan antara agenda yang perlu dilakukan dalam usaha memastikan prestasi atlet tidak terjejas sepanjang tempoh ini.

Beliau bagaimanapun memaklumkan keperluan mewujudkan mekanisme khas  sebelum menganjur sebarang kejohanan maya atau secara dalam talian bagi mengelakkan berlakunya sebarang masalah yang boleh memberi kesan kepada penganjurannya di kemudian hari.

“Bila tiada pertandingan, prestasi atlet akan jatuh. Jadi sebab itulah kita di MPM memberi fokus dan penekanan kepada kejohanan secara maya.

“Tapi walau apa pun, untuk anjur kejohanan maya melibatkan negara-negara, kita terlebih dahulu perlu ada kelengkapan khas untuk penganjuran ini.

“Kelengkapan itu termasuklah dari segi peralatan, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang khusus agar ia tidak jadi cacamarba nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada atlet paralimpik di Kompleks Sukan Komuniti Krubong, semalam.

Dalam program itu, seramai 40 atlet dan bekas atlet paralimpik Negeri Melaka menerima barangan keperluan asas yang disumbangkan gedung pakaian Jakel.

Mengulas mengenai sumbangan tersebut, Megat D Shariman percaya ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban atlet serta bekas atlet paralimpik yang terkesan sepanjang penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Menurutnya lagi, program penyampaian sumbangan itu akan diperluas ke negeri-negeri lain dalam Malaysia dalam usaha menjaga kebajikan serta memastikan tiada atlet yang terpinggir sepanjang tempoh-tempoh sukar ini.

Views:

1076
Kongsi :
Previous post Lazada Malaysia cipta rekod baharu jualan 12.12
Next post Ibu anak lapan didenda sorok kelahiran bayi
Ubah saiz-+=