MTA komited pergiat promosi pelbagai subsektor pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 28 Jun – Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA) komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi mempromosikan pelbagai sektor pelancongan seluruh Melaka.

Presidennya, Madelina WL Kuah berkata, komitmen itu sejajar dengan peranan MTA yang mewakili pemain industri pelancongan seperti perhotelan, rekreasi, restoran dan hospital sejak 41 tahun lalu.

Jelasnya, MTA akan terus mempromosikan Melaka sebagai negeri pelancongan menerusi 14 subsektor yang terdapat di negeri ini.

“Pelbagai langkah sedang kita laksanakan termasuk menyasarkan penganjuran program berkaitan industri ini sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan.

“Setakat ini lebih 12 program pelancongan telah dianjurkan MTA dan kita akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MTA kali ke-41 di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, semalam.

Program itu telah dirasmikan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias; Pengarah Tourism Malaysia Melaka, Shahrulnazri Shaharuddin dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.

Mengulas lanjut, Madelina berkata, minuman teh tarik gula melaka diangkat sebagai ikon pelancongan baharu Melaka adalah antara langkah mempromosi pelancongan dalam subsektor makanan.

Katanya, pelbagai langkah telah dirangka dalam subsektor pelancongan yang lain seperti dalam kategori kesenian, kebudayaan dan sejarah.

“Kita juga akan melaksanakan sebuah program bagi memartabatkan busana kebaya Baba dan Nyonya dengan pelbagai pengisian dijangka diadakan pada Julai dengan melibatkan penyertaan dari Indonesia bagi mempromosikan pelancongan Melaka.

“Subsektor pelancongan kesihatan juga turut diberi perhatian yang mana kita membantu perkhidmatan hospital di negeri ini mempromosi perkhidmatan kesihatan berteraskan teknologi kepintaran pembuatan (AI) untuk menarik lebih ramai kemasukan pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

86
Kongsi :
Previous post Pesawat M81-11 TDM lakukan pendaratan cemas, anak kapal cedera
Next post Sidang DUN Melaka bawa 193 soalan
Ubah saiz-+=