Muara Sungai Baru dipulihara dengan kos RM10.392 juta

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA LINGGI 28 April. – Masalah muara Sungai Baru, di sini, yang cetek dan menyukarkan nelayan keluar masuk bakal berakhir tahun depan.

Ini kerana Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sudah menyediakan peruntukan RM10.392 juta bagi memulihara muara Sungai Baru yang mengalami mendapan kelodak sungai serius sejak 10 tahun lalu.

Ia bagi membolehkan kerja mendalamkan muara dijalankan, selain kerja membina benteng sepanjang 200 meter di kedua-dua tebing muara.

NELAYAN terpaksa menolak perahu gentian kaca ketika melalui muara Sungai Baru, Masjid Tanah kerana air surut menyebabkan dasar muara yang dipenuhi kelodak timbul.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abdul Hakim Hamzah berkata, kerja berkenaan akan dilaksanakan kontraktor mulai hujung bulan ini hingga April tahun hadapan.

“Alhamdulillah, KASA sudah menyediakan peruntukan yang kami mohon beberapa tahun lalu dan apabila kerja itu selesai, ia akan memberi kemudahan kepada bot dan perahu kecil nelayan keluar masuk melalui muara itu,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) Mazelan Bakar berkata, persatuan itu menyambut baik kesediaan KASA menyediakan peruntukan berkenaan selepas masalah terbabit menghimpit nelayan sejak 10 tahun lalu.

“Seramai 200 nelayan terpaksa bersaing dengan waktu setiap kali ingin keluar ke laut dan naik ke pangkalan ketika melalui muara itu kerana ia amat cetek.

“Setiap kali ingin turun ke laut, mereka harus memastikan air sudah hampir pasang dan begitu juga ketika ingin naik ke pangkalan, mereka harus tiba di muara sebelum air timpas atau terlalu surut hingga menampakkan pasir muara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2536
Kongsi :
Previous post Lelaki dikuatiri lemas, lori terjunam dalam Sungai Perai
Next post Pengarah syarikat didakwa pecah amanah wang RM80,000
Ubah saiz-+=