Sorting by

×

Muaythai: Baru 8 tahun sudah harumkan nama Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BARU berusia 8 tahun, namun nama Wan Muhammad Iffat Hamdani Wan Mohd Fauzi kini sudah tersohor dalam arena sukan Muaythai apabila meraih pingat emas pada Kejohanan Muaythai Elit Senior & Junior Kebangsaan 2022.

Wan Muhammad Iffat Hamdani memenangi kategori junior lelaki 8-9 tahun (25-30 kg) dalam kejohanan yang berlangsung di Pengkalan Chepa Kelantan, 17 hingga 20 Mac lalu.

Menurut Presiden Persatuan Muaythai Negeri Melaka Emrito @ Haris Alias, kejayaan itu dianggap cukup membanggakan Melaka memandangkan bakat baharu sukan itu telah mula dikesan seawal usia muda.

Katanya, murid Sekolah kebangsaan Kampung Tun Razak Bukit Katil menunjukkan keazaman cukup tinggi setiap kali menghadapi apa jua kejohanan yang disertai.

“Boleh dikatakan adik Wan Muhammad Iffat Hamdani tidak pernah culas dalam latihan dan sentiasa berlatih setiap hari pada sebelah petang.

“Berkat keazamannya yang dibantu dengan jurulatih Emrita Alias dan Akademi Kelab Muaythai Kala Merah Jasin, kesungguhan itu akhirnya terbalas dengan kejayaan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas mengenai kejohanan tersebut, Emrito berkata, walaupun perancangan awal mahu membawa 25 atlet termasuk wakil Sukan Malaysia (Sukma) Melaka menyertai kejohanan itu, namun akibat serangan COVID-19, hanya lapan atlet sahaja yang dapat dibawa ke Kelantan.

Meskipun begitu, katanya, atlet Melaka tetap mempamerkan kejayaan cemerlang apabila membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa pada kejohanan itu.

“Satu lagi emas disumbangkan atlet Sukma Melaka Che Wan Mohammad Saiful Che Wan Abdullah, 20 yang memenangi kategori senior lelaki 51-54kg.

“Dia yang bakal mewakili Melaka dalam temasya Sukma September depan juga menjadi antara prospek emas Melaka memandangkan telah empat kali menjadi johan kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, Emrito turut menyeru lebih ramai belia dan pelajar sekolah menceburi sukan muaythai di negeri ini dalam misi mengembangkan lagi sukan yang mempunyai potensi besar itu.

Katanya, sesiapa yang berminat boleh menghubungi Persatuan Muaythai Negeri Melaka di talian 011-55034977 (Emrita) atau 017-3499402 (Dzuhairy).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2988
Kongsi :
Previous post SPRM: Suami isteri ditahan bantu siasatan bocor maklumat tender
Next post Segerakan pelaksanaan undang-undang anti lompat parti
Ubah saiz-+=