MUFC sedia lenyapkan ego ‘Sang Penyu’

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) berhasrat menghapuskan ‘badi’ seri tiga perlawanan berturut-turut dengan mencipta kemenangan pertama menentang Kelab Bolasepak Terengganu (TFC) di Kuala Terengganu, malam esok.

Ketua jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan percaya semangat skuad Hang Tuah kini semakin membara dan bertekad untuk mempamerkan aksi cemerlang bagi memperbaiki kedudukan.

Berbekalkan pengalaman dalam tiga perlawanan sebelum ini, beliau yakin anak buahnya mampu mencipta kejutan ke atas pasukan dari Pantai Timur itu yang sebelum ini merekodkan kemenangan bersih dalam tiga perlawanan pertama.

“Yang paling penting bukan bermain baik atau cantik di atas padang, tetapi kemenangan itu yang paling penting. Untuk menang kita harus mencipta peluang dan menterjemahkan peluang itu menjadi gol yang dicari-cari.

“Kita sedar bermain di tempat lawan bukan sesuatu yang mudah kerana mereka beraksi cemerlang sebelum ini. Tetapi saya harap kita dapat mencari satu atau dua gol yang penting untuk mencipta kemenangan.

“Saya percaya tiga kali meraih keputusan seri tidak membuatkan pemain berasa ‘down’ sebaliknya mereka seakan-akan kelaparan untuk mencipta kemenangan pertama,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada sesi latihan Stadium Hang Tuah, Jalan Hang Tuah, petang semalam.

Dalam pada itu, Zainal memaklumkan, pihaknya sudah mengatur strategi baharu, termasuk meneliti kesebelasan terbaik yang bakal diturunkan malam esok mengikut tahap prestasi dan kecergasan pemainnya.

Beliau tidak menafikan ketiadaan penyerang import, Stefan Nikolic akibat kecederaan sedikit sebanyak mengganggu rentak pasukan, namun beliau mahu pemain yang ada dapat menunjukkan disiplin yang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan di tempat lawan itu nanti.

“Memang kalau ada pun satu dua pertukaran buat masa ini. Kita lihat kerana bermain di Terengganu kita perlukan disiplin yang tinggi kerana mereka kini sedang meningkat menjadi antara pasukan terbaik dalam liga.

“Lebih-lebih lagi bermain di tempat mereka. Satu strategi khusus perlu kita rangka untuk bermain di sana.

“Buat masa ini saya sedang melihat ada tiga atau empat pemain (yang jarang diturunkan) telah menunjukkan potensi sebenar mereka dan mungkin boleh membantu pasukan dalam perlawanan itu,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

388
Kongsi :
Previous post Monsta bawakan tema ‘Beyond’ sempena ulang tahun ke-10 BoBoiBoy
Next post Hadiah terindah buat ibu tunggal dan lima anak
Ubah saiz-+=