MUFC tekad kikis imej pasukan ‘tumpul’

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 Mac – Melaka United Football Club (MUFC) melaungkan ikrar untuk menjadi sebuah pasukan berwajah baharu dan lari dari imej pasukan ‘tumpul’ menjelang saingan Liga Super musim 2021 yang akan membuka tirai 5 dan 6 Mac ini.

Ketua Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan berkata, antara fokus utama skuad Hang Tuah musim ini ialah memperbaiki ketajaman penyudah bagi memastikan pasukan tidak lagi ketandusan gol seperti musim lalu.

Untuk mencapai misi itu, ujarnya, pelbagai pembaharuan telah dilakukan termasuklah memperkuatkan barisan hadapan dengan kemasukan dua penyerang import baharu.

“Memang saya tak nafikan beberapa musim sebelum ini kita ketandusan gol. Jadi tahun ini sememangnya saya ingin memperbaiki barisan serangan. Itu yang penting kerana tanpa gol kita tak akan menang perlawanan.

“Jadi sikit pembaharuan untuk tahun ini kita telah perbaiki bahagian serangan yang mana kita kini mempunyai lebihan pemain import di bahagian attacking force.

“Kita juga mengharapkan pemain seperti Kecik (Wan Zaharulnizam) dan Sony Norde yang banyak memberi kesan attacking force ini untuk memberi ketajaman kepada Alex dos Santos Goncalvez di bahagian atas,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini sebelum sesi latihan pasukan di Stadium Hang Tuah.

PASUKAN Melaka United menjalani latihan di Stadium Hang Tuah bagi persediaan menentang pasukan Sabah dalam saingan Liga Super Sabtu ini

Mengulas mengenai persiapan menentang Sabah di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini, Zainal berkata pasukannya sudah hampir bersedia untuk memberikan cabaran hebat dalam aksi pembukaan itu.

Namun, beliau mengakui masih buntu untuk memilih kesebelasan utama terbaik dalam perlawanan itu memandangkan hampir kesemua pemain menunjukkan keinginan untuk berbakti kepada pasukan.

“Alhamdulillah saya ingin memilih 11 pemain tapi saya nampak lebih daripada 11 yang boleh bermula untuk aksi menentang Sabah Sabtu ini.

“Jadi saya ada masa lagi untuk menentukan kesebelasan yang terbaik. InsyaAllah hanya kesebelasan terbaik akan diturunkan pada perlawanan pertama itu nanti,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post Treler rempuh perancah besi punca jejambat SUKE runtuh
Next post Nahas SUKE: Dua mangsa disahkan maut, tiga selamat – Polis
Ubah saiz-+=