Muhammad Fakhrul korban usia remaja demi ibu angkat

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

DURIAN DAUN 17 Okt – Muhammad Fakhrul Fitri Razali, 15 dianugerahkan Pingat Hang Tuah atas kesanggupan beliau menguruskan kehidupan ibu angkat Azizah Bujang, 53 dan ibu saudara angkat Norlia Bujang selepas kematian ayah angkat, tiga tahun lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naning itu bertanggungjawab sepenuhnya kepada dua wanita yang tiada talian kekeluargaan, tanpa pernah jemu bagi memastikan kedua-duanya dapat meneruskan kehidupan, walaupun dalam serba kekurangan.

Sikap bertanggungjawab dan berjiwa besar yang dimiliki membolehkan beliau dicalonkan sebagai penerima Anugerah Hang Tuah Sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri Melaka 2020.

Menerusi kejayaan tersebut, Fakhrul menerima trofi, sijil dan wang tunai daripada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar di Dewan Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz, Durian Daun, di sini, hari ini.

LATIPAH (dua kanan) bergambar bersama Muhammad Fakhrul selepas menyampaikan Pingat Hang Tuah di Dewan Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz, Durian Daun hari ini.

Dalam usia yang begitu muda, anak kelahiran Kampung Sungai Buloh Alor Gajah ini harus mengorbankan masa remajanya yang tidak dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Kecekalan remaja ini menguruskan dua wanita dewasa seperti menukar lampin pakai buang, menjaga makan minum dan memastikan keduanya mendapatkan rawatan yang sewajarnya ternyata memberi inspirasi kepada insan-insan di sekelilingnya.

Semasa ditemui Melaka Hari Ini (MHI) Fakhrul yang juga pengawas sekolah berkata, bapanya meninggal dunia ketika usianya 12 tahun dan sebagai satu-satunya lelaki dalam keluarga angkat tersebut beliau perlu lebih kuat dan bertanggungjawab terhadap ibu dan ibu saudaranya yang menjaga dan membesarkan beliau selama ini.

“Selepas arwah ayah meninggal, ibu saudara turut membantu saya menguruskan ibu dan hal-hal di rumah, tetapi akibat penyakit kencing manis kronik yang dihidapi menyebabkan sebelah kaki beliau terpaksa dipotong pada tahun 2010.

“Kemudiannya pada tahun 2017 sebelah kaki lagi terpaksa dipotong menyebabkan beliau kini terlantar dan tidak mampu lagi untuk menguruskan diri sendiri.

“Saya gembira dan berterima kasih kepada semua pihak yang mengiktiraf saya dengan anugerah ini dan berharap akan memberi inspirasi kepada diri sendiri sebaliknya juga kepada orang lain juga,” katanya.

Views:

1387
Kongsi :
Previous post Selesaikan kemelut politik secara tertutup
Next post Ibu bapa perlu lebih peka tentang aktiviti siber anak
Ubah saiz-+=