Sorting by

×

Muhammad Hafiq, Nurul Syasya mahu ‘bersinar’ di sukan SEA

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 20 November – Usianya baharu setahun jagung, namun Nurul Syasya Khairina Syamsur, 14, tetap menyimpan impian untuk menaiki podium dan menyumbangkan pingat pada Sukan SEA akan datang, sekali gus mengharumkan nama Negeri Melaka.

Atlet angkat berat wanita kategori 49 kilogram (kg) ini berkata, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Olahragawati Harapan pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Kali ke-38 Tahun 2021/2022, membakar semangatnya untuk memburu pingat di Sukan SEA nanti.

Anak kelahiran Nyalas ini berkata, pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri amat bermakna dan akan dijadikan azimat untuk mempamerkan aksi terbaik pada mana-mana kejohanan angkat berat bakal disertainya selepas ini.

“Alhamdulillah memang tidak disangka, nama saya diumumkan sebagai penerima anugerah ini, terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran ini.

“Memang saya bersyukur kerana merasakan kejayaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu sudah cukup menggembirakan. Tetapi apabila menerima pengiktirafan kali ini saya cukup bersyukur sebab rezeki itu memang tidak pernah salah alamat.

“Insya-Allah ini menjadi titik semangat bagi saya untuk memburu kemenangan pada Sukan SEA dan setakat ini saya dalam keadaan bersedia dengan latihan dan sokongan untuk ke kejohanan seterusnya,” katanya.

Gadis ini berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah berkenaan pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Kali ke-38 Tahun 2021/2022 diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.

Terdahulu, Syasya menerima piala iringan, sijil dan wang tunai RM1,000 disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam sambil diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.

Sementara itu penerima Anugerah Olahragawan Harapan, Muhammad Hafiq Mohd Jafri, 18, merupakan atlet berbasikal turut meletakkan harapan tinggi di Sukan SEA nanti.

Beliau yang merupakan atlet trek berbasikal meletakkan matlamatnya agar disenaraikan dalam skuad pelapis kebangsaan.

“Saya sasar untuk disenaraikan dalam acara senior selepas ini untuk meraih kejayaan dalam Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Alhamdulillah anugerah diterima kali ini adalah kejayaan yang tidak disangka-sangka dan saya akan terus berusaha untuk memastikan kejayaan lebih besar mampu dicapai pada masa hadapan.

“Terima kasih kepada semua pihak terlibat khususnya kepada keluarga, persatuan, MSN dan ramai lagi dalam mendukung usaha saya mencapai kejayaan untuk Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1170
Kongsi :
Previous post PDRM tundukkan Thailand acara beregu Piala Tun Ali 2023
Next post Akaun KWSP ketiga untuk kecemasan dilaksana April 2024 – Ahmad Maslan
Ubah saiz-+=