Sorting by

×

Murid tabika perpaduan zahir terima kasih kepada petugas barisan hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

MELAKA 2 Sept – “Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan negara.. tabik atas perkhidmatan dan pengorbanan anda,” luah Muhammad Aish Kashah Ramadhan Muhammad Shahid, 6, dari Tabika Perpaduan Taman Sri Krubong Permai.

Luahan itu dicoretkan dalam kad ucapan dihasilkan dalam bentuk virus bagi melambangkan virus COVID-19 yang sedang melanda negara dan kad berkenaan antara 50 kad hasil murid dari Tabika Perpaduan Taman Sri Krubong Permai dan Tabika Perpaduan Taman Bukit Katil Permai yang diedarkan kepada petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya (SJR) Ayer Keroh, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Melaka Habibah Jaafar berkata, program disertai kira-kira 1,600 murid dari 64 kelas tabika perpaduan di Melaka bagi menzahirkan rasa terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memastikan rakyat negara ini menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam memerangi penularan COVID-19 sejak lebih setahun lalu.

HABIBAH pada sidang media selepas program berkenaan. Foto – JPNIN.

“Kad ucapan berkenaan dihasilkan dalam pelbagai bentuk mengikut kreativiti murid dan dibantu ibu bapa dengan ucapan ringkas untuk menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dan sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat pasukan keselamatan.

“Program berkenaan sebahagian daripada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dijalankan secara dalam talian dan ia bukan sahaja memupuk perasaan saling menghargai sesama manusia bermula di peringkat awal usia kanak-kanak malah mencungkil bakat kanak-kanak dalam seni kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Program Penyerahan Kad Ucapan Penghargaan kepada Petugas Barisan Hadapan di SJR di Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka Asisten Komisioner Mohd Hedzi Hussin dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu.

Mengulas lanjut, Habibah berkata kad berkenaan dikumpulkan oleh guru kelas masing-masing untuk ditampal dalam satu bingkai besar sebelum diserahkan kepada wakil petugas barisan hadapan.

Sementara itu, guru Tabika Perpaduan Taman Sri Krubong Permai Haniza Mohd Tahir berkata kad ucapan berkenaan dihasilkan daripada bahan terbuang dengan kreativiti masing-masing.

“Terima kasih kepada ibu bapa yang membantu anak-anak mereka untuk menghasilkan kad yang sangat kreatif walaupun dengan ucapan ‘terima kasih’ yang singkat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

706
Kongsi :
Previous post COVID: Dua kluster baharu direkodkan di Batu Berendam
Next post Pemandu, kelindan maut lori terjunam dalam gaung
Ubah saiz-+=