Muzium Bomba suntik daya tarikan pelancong ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

 

BANDA HILIR 14 Mei – Muzium Bomba yang dibina di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Jalan Kubu akan meningkatkan daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, muzium berkenaan merupakan sejarah penting kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kerana ia adalah muzium kebombaan pertama di Malaysia.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri amat berbesar hati dan sentiasa menyokong segala program serta memberikan komitmen penuh terhadap inisiatif Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM ke arah pemerkasaan perkhidmatan demi menjulang kemakmuran negeri.

“Saya yakin ia (pembinaan Muzium Bomba) akan meningkatkan daya tarikan pelancong untuk datang melawat Bandaraya Melaka Bersejarah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap yang dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 di Dataran Pahlawan di sini hari ini.

Rais membacakan teks ucapan itu berikutan Ab Rauf tidak dapat hadir kerana menghadiri Konvesyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata inisiatif pembangunan itu amat bersesuaian dibangunkan  di Melaka kerana negeri ini sememangnya kaya dengan sejarah dan budaya tidak ternilai.

“Sehinggakan Negeri Melaka diberikan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang mempunyai khazanah serta peninggalan sejarah yang sangat berharga kepada Malaysia,” katanya.

Terdahulu, acara sambutan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Datuk Abdul Wahab Mat Yassin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7034
Kongsi :
Previous post Yakult mahu ibu fokus utamakan kesihatan
Next post Ayam bakar ‘laku keras’ di Rumah Terbuka Aidilfitri Lendu
Ubah saiz-+=