Myvi ‘serbu’ kedai elektrik

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KESIDANG 24 Okt. – Seorang wanita yang juga pelanggan kedai elektrik cedera dibeberapa bahagian badan selepas dirempuh sebuah Perodua Myvi yang dipercayai terbabas masuk ke kedai elektrik dalam kejadian di Plaza Pandan Malim, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira- kira jam 10.30 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia 45 tahun mengalami kecederaan di kepala, tangan, kaki dan pinggang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 63 tahun dikatakan sedang mencari parkir di kawasan berkenaan sebelum tayar hadapan sebelah kirinya tiba- tiba berbunyi.

Beliau berkata, ketika mahu menekan brek, lelaki berkenaan dikatakan tertekan pedal minyak lalu menyebabkan kenderaan dipandunya meluru masuk ke kedai berkenaan.

“Siasatan awal mendapati pemandu yang sedang mencari parkir tertekan pedal minyak, lalu terbabas ke kiri dan masuk ke dalam sebuah kedai perabot dan elektrik sebelum merempuh seorang pelanggan dan beberapa barangan eletrik di dalam kedai.

“Sebanyak 48 buah barangan eletrik pelbagai jenis dilaporkan mengalami kerosakan dan kerugian dianggarkan bernilai lebih kurang RM65,000,” katanya.

Menurut beliau, Perodua Myvi terbabit akan ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk siasatan lanjut.

“Siasatan berhubung kejadian masih dijalankan selain kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Terdahulu, gambar kemalangan tersebut turut tular di media sosial.

Views:

1881
Kongsi :
Previous post Empat kes Polio dikesan di Sabah
Next post COVID-19: 3 kes di Melaka tidak libatkan mana-mana kluster
Ubah saiz-+=