NADMA perincikan Program Pemerkasaan Komuniti COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SUNGAI UDANG 13 Feb. – Kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan memperincikan Program Sukarelawan Pemerkasaan Komuniti yang akan ditubuhkan bagi membendung penularan  COVID-19 secara menyeluruh di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, penubuhan sukarelawan membabitkan setiap kelompok masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin setempat menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan bagi menyampaikan maklumat dan kesedaran dalam penggayaan kehidupan norma baharu.

Menurutnya, ia bagi memastikan seluruh masyarakat memahami dan mengetahui langkah keselamatan yang digariskan kerajaan bagi membendung wabak berkenaan daripada  berlarutan dalam kelompok masyarakat.

MOHD REDZUAN (kiri) bersama Idris (dua dari kanan) dan Cuthbert melihat kit makanan (NADMA) yang disalurkan kepada golongan terjejas di Parlimen Tangga Batu di Dewan Japerun Sungai Udang. Foto: MR. Azli

“Kehadiran anggota komuniti itu bukan untuk menghukum tetapi untuk memberi kefahaman secara lebih luas tentang norma baharu dan bahaya virus COVID-19.

“Setiap pasukan ini akan memasuki dalam kawasan kediaman bagi menyalurkan maklumat dan memantau kepatuhan masyarakat dalam situasi ini kerana ada juga masyarakat yang masih berdegil melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program penyampaian Kit Bantuan Makanan NADMA dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) bagi golongan terjejas di Parlimen Tangga Batu di Kompleks Japerun Sungai Udang di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra.

Pada program itu sebanyak 1,000 bantuan kit makanan diserahkan kepada wakil setiap mukim dalam Parlimen Tangga Batu untuk disalurkan kepada keluarga terjejas bagi mengurangkan beban mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Views:

400
Kongsi :
Previous post PKP: Rama-rama spesies Idea Lynceus bakal lenyap, kajian 16 tahun terpaksa dihenti
Next post Tingkat keselamatan PKRC, bendung kejadian tidak diingini- Mohd Redzuan
Ubah saiz-+=