Naik bas percuma ke lokasi pelancongan Melaka sehingga Mei

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PENGKALAN BATU 10 Mac – Kerajaan negeri mengumumkan perkhidmatan percuma menaiki Bas Pelancongan Elektrik Singgah-Singgah selama dua bulan kepada orang ramai dan pelancong di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkhidmatan percuma itu diberikan untuk bersama-sama merasai keunikan dan pengalaman menaiki Bas Singgah-Singgah sambil meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Menurut beliau, perkhidmatan itu bermula 11 Mac sehingga penghujung Mei depan.

“Selain merasai keunikan dan pengalaman, marilah sama-sama kita meraikan hari raya bersama keluarga di kawasan pelancongan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Bas Pelancongan Elektrik Singgah-Singgah Negeri Melaka, di Melaka Sentral, petang Khamis.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari, Exco Pengangkutan Datuk Rahmad Mariman dan Pengerusi Panorama Melaka Datuk Roslan Ahmad.

Menurut Sulaiman, Bas Singgah-Singgah itu akan melalui enam ‘pit stop’ di kawasan pelancongan, kawasan bersejarah UNESCO hingga ke Pantai Klebang.

“Antara laluannya adalah ke Zoo Melaka, Menara Taming Sari, Muzium Kapal Selam dan Dataran Klebang.

“Dijangkakan tujuh buah bas lagi akan sampai akhir tahun ini selain kerajaan negeri menjangkakan perkhidmatan bas elektrik ini akan dinikmati oleh kira-kira 290,000 orang setahun,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkhidmatan Bas Singgah-Singgah secara tidak langsung akan mewujudkan imej baharu Panorama Melaka yang mempunyai daya tarikan tersendiri serta mengadaptasi teknologi hijau.

“Diharap dengan adanya perkhidmatan bas elektrik ini juga ia boleh menjadi ikon dan produk baharu Melaka selain dapat menarik lebih ramai pelancong sama ada dalam mahupun luar negeri untuk datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1441
Kongsi :
Previous post PRN Johor: Cuaca diramal cerah sebelah pagi – MetMalaysia
Next post Lega sempadan dibuka, harap dapat sambutan pelancong luar – peniaga
Ubah saiz-+=