“Nak berpolitik tunggu pilihan raya” – KM

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Biarpun berbeza fahaman, Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali enggan melihatnya sebagai sempadan untuk tidak mendengar permasalahan yang dihadapi rakyat, walaupun dari blok pembangkang.

Baginya, pemimpin politik sepertinya datang dan pergi, tetapi bukan dasar yang baik menjurus kepada rakyat.

“Kita kerja sahaja, kalau nak berpolitik tunggu pilihan raya. Kalau nak berebut jadi kerajaan, nak tunjukkan kita betul-betul hebat adalah pada waktu itu.

“Selepas diangkat oleh rakyat, kenapa kita nak terus berpolitik sepanjang masa.

“Saya beritahu (ADUN Pembangkang) anda boleh datang (pejabat), hubungi saya bila-bila masa sebab kita jadi wakil adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya tak kritik mereka sebab saya wakil rakyat, mereka pun wakil rakyat, jadi sama-sama kita buat kerja, cuma saya Ketua Menteri yang jaga seluruh Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dilaporkan akhbar Berita Harian hari ini.

Sulaiman turut menceritakan bagaimana beliau sanggup menebalkan muka duduk bersama blok pembangkang sewaktu rehat semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu.

Katanya, beliau telah mempelawa wakil rakyat pembangkang yang pernah menjawat jawatan dalam kerajaan negeri sebelum ini untuk duduk bersama di meja makan, namun mereka menolak.

“Kalau dalam dewan (DUN) dan luar dewan, kita asyik bermusuh tak boleh nak duduk bersama berbincang mengenai hal rakyat, makan pun tak boleh nak duduk bersama, ia tak bagus.

“Saya jemput ketua pembangkang (bekas Ketua Menteri Adly Zahari) untuk makan bersama saya. Saya lihat dalam dewan kita duduk berasingan, tetapi di meja makan, saya jemput dia duduk bersama di meja Ketua Menteri.

“Dalam kalangan rakan pembangkang pun, dipelawa duduk di tempat yang sama. Saya kata, YB (Yang Berhormat) pernah duduk di meja ini dulu, kenapa sekarang tak boleh duduk di sini, sekarang duduk makan bersama saya kita boleh bincang. Kita nak gaduh di dalam (DUN), tapi tidak di meja makan.

“Ada (ADUN pembangkang) tak nak duduk bersama, saya pergi tempat mereka duduk, bincang hal rakyat, jangan hal politik. Kita politik apabila sampai masa Parlimen bubar nanti, anda boleh kritik saya, saya boleh kritik anda. Selagi kita wakil rakyat, kita bantu rakyat, beri khidmat kepada rakyat,” katanya.

Views:

347
Kongsi :
Previous post Seramai 129 individu ditahan ingkar arahan PKPP
Next post Covid-19, air dan politik: Cabaran cukup besar – Sulaiman
Ubah saiz-+=