Nasi himpit ‘retort’ boleh tahan 2 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 23 Jun – Minat mendalam dalam bidang perniagaan makanan mendorong seorang usahawan melakukan inovasi untuk memastikan makanan yang dihasilkan tahan lebih lama.

Berkat kesungguhan dan kajian demi kajian yang dilakukan, Md Shukor Johari, 55, akhirnya berjaya mencipta suatu inovasi baharu iaitu penghasilan nasi himpit menggunakan mesin retort.

Menariknya, nasi himpit yang dimasak menggunakan mesin itu boleh bertahan sehingga dua tahun hanya pada suhu bilik tanpa perlu disimpan di dalam peti ais.

Menurut Md Shukor, idea itu timbul apabila dia mula menceburi bidang makanan sejak lima tahun lalu dengan membuka sebuah kilang di Ayer Keroh yang diusahakan bersama isteri.

Katanya, dari situ timbullah pelbagai idea untuk menghasilkan produk makanan berkualiti yang mempunyai jangka tahan lebih lama dengan kaedah ‘retort’ makanan.

“Dengan kaedah ini, kami berjaya mencipta inovasi untuk nasi himpit yang dimasak dengan mesin retort dan seterusnya ia akan dibungkus dan ‘retort’ semula untuk membasmi segala kuman bagi membolehkannya tahan lebih lama.

“Segala reka bentuk acuan sehinggalah masak dan ‘retort’ kami lakukan sendiri dan hasilnya produk nasi himpit siap masak yang dihasilkan boleh bertahan sehingga dua tahun pada suhu bilik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Berkat usaha keras dan kreativitinya, Md Shukor diangkat sebagai penerima Anugerah Peneraju Inovasi Agromakanan pada Melaka Agrofest 2024 di Dataran Sejarah Ayer Keroh.

Selaku pemenang anugerah, dia membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta sijil penghargaan yang disampaikan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mewakili Ketua Menteri.

Menurut bapa kepada empat anak itu, anugerah berkenaan disifatkan sebagai pembakar semangat untuknya terus maju dalam bidang agromakanan pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post Ayam Saga masa depan industri penternakan
Next post MBMB perkasa agenda bandar pintar
Ubah saiz-+=