Nasib lebih 15 peniaga Kampung Jawa akan terbela – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 17 Januari – Kerajaan Negeri akan mengadakan perjumpaan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta peniaga di Kampung Jawa hari ini bagi mencari jalan penyelesaian membela nasib peniaga berkenaan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata perjumpaan itu sekali gus bagi mencapai kata persetujuan bersama peniaga sama ada perlu mewujudkan tapak baharu Kampung Jawa Melaka.

“Berkenaan isu ini saya akan adakan perjumpaan jam 3 petang ini di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk mencari penyelesaian dan persetujuan jika wujudkan kawasan baharu Kampung Jawa.

“Kalau kita cari tempat niaga untuk mereka (peniaga) tapi mereka tidak setuju pun tidak guna, jadi hari ini kita panggil mereka semua (lebih 15 peniaga) untuk datang berbincang bersama.

“Kita sama-sama cari jalan penyelesaian, Kampung Jawa ini nostalgia sejak 100 tahun dahulu, inilah tempat beli-belah kita, jadi ia tidak boleh dilupakan begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pandu Lalu KITARecycle di Taman Botanikal di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka, Khairuladha Ab Mutalib.

photo_2023-01-12_16-01-25
Suasana perniagaan di Kampung Jawa, Melaka yang popular sebagai kawasan beli-belah barangan keperluan dan rumah sejak lebih 100 tahun lepas berikutan akan ditutup pada 31 Mei ini bagi memberi laluan kepada pembangunan projek baharu. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sebelum ini MHI melaporkan Kampung Jawa yang popular sebagai kawasan beli-belah barangan keperluan dan rumah sejak lebih 100 tahun lepas akan ditutup pada 31 Mei ini bagi memberi laluan kepada pembangunan projek baharu.

Dalam pada itu Zaidi berkata Kerajaan Negeri masih meneruskan insiatif Melaka Bebas Berniaga setakat hari ini sehingga satu dasar baharu diputuskan.

“Status bebas berniaga setakat ini kita belum buat apa-apa keputusan tentang, jadi dasar sebelum ini masih terpakai lagi sehingga kita buat satu dasar baharu,” katanya.

Untuk rekod sebelum ini Kerajaan Negeri Melaka memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk berniaga di mana sahaja dalam tempoh satu tahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata perkara tersebut merupakan antara inisiatif diberikan untuk membantu peniaga serta rakyat yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2916
Kongsi :
Previous post RM10 bilion boleh diselamatkan daripada kebocoran sistem perolehan kerajaan
Next post Pegawai dan dua anggota bomba cedera ketika padam kebakaran kilang
Ubah saiz-+=