Nelayan tidak setuju kaedah ‘Geotube’, mahu kaedah alternatif lain

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

RIM 11 Sept. – Kerajaan negeri akan mencari alternatif terbaik sebagai penyelesaian terhadap masalah dihadapi nelayan yang terkesan akibat hakisan pantai di Pantai Puteri, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk mengenal pasti kaedah yang sesuai digunakan untuk mengatasi masalah hakisan pantai sehingga menjejaskan pendapatan nelayan.

Katanya, akibat masalah hakisan pantai di Pantai Puteri, kerajaan negeri menerusi JPS telah menjalankan kaedah ‘Geotube’ sebagai usaha untuk mengurangkan hakisan laut.

“Bagaimanapun, kaedah yang digunakan untuk melandaikan tebing supaya perahu dapat naik ke atas tebing itu tidak dipersetujui nelayan di Pantai Puteri.

“Sebaliknya mereka mahu kaedah lain dijalankan seperti memanjangkan pembinaan batu penghadang untuk menghalang hakisan pantai.

“Pihak nelayan minta kerajaan negeri melakukan cara mereka kerana mereka lebih tahu, jadi kita sedang berbincang bersama nelayan dan Pengarah JPS sama ada kita gunakan kaedah landai atau menggunakan kaedah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Ladang dan Majlis Penyerahan Peruntukan Tahun 2020 peringkat Daerah Jasin di Dewan Alamanda, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia Eliyas Saad.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) pada 9 September lalu mendapati hakisan yang berlaku di Pantai Puteri berada pada tahap kritikal apabila beberapa pokok rhu yang ditanam sejak 30 tahun lalu mula menyembah bumi.

Keadaan itu turut menimbulkan kegusaran dalam penduduk di sekitar kawasan berkenaan kerana keadaan itu boleh menjejaskan kehidupan mereka yang majoritinya terdiri daripada golongan nelayan.

Views:

546
Kongsi :
Previous post Bayi parah tangan digigit anjing
Next post Orang ramai diminta menderma darah – MYDC
Ubah saiz-+=