Nisab penentu kewajipan

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

TAHUKAH anda apa itu nisab? Berapakah kadar nisab bagi tahun 2023? Nisab adalah kadar atau garis panduan sama ada seseorang itu wajib mengeluarkan zakat ataupun tidak.

Nisab di Negeri Melaka pada tahun 2023 adalah RM 21,625.69 kecuali Zakat Emas & Perak, Ternakan dan Pertanian mempunyai nisabnya sendiri. Zakat Emas mempunyai dua kategori iaitu:

1. Emas Yang Disimpan / Tidak Dipakai : Emas yang disimpan atau tidak dipakai dalam tempoh setahun maka nisabnya adalah 85 gram.

2. Emas Yang Dipakai / Perhiasan Wanita : Emas yang dipakai sama ada sekali atau kerap oleh kaum “wanita” dalam tempoh setahun maka nisabnya mestilah melebihi 180 gram (uruf pemakaian setempat Negeri Melaka).

MicrosoftTeams-image (2)

Uruf ialah had pemakaian setempat dan ia berbeza mengikut negeri, berdasarkan kadar pemakaian emas di negeri tersebut. Nisab bagi Zakat Perak ialah 595 gram. Kewajipan menunaikan Zakat Emas & Perak ada dinyatakan dalam firman Allah SWT, yang bermaksud: “Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak tetapi tidak membelanjakannya pada jalan Allah SWT, maka kabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah at-Taubah, ayat 34)

MicrosoftTeams-image (1)

Kaedah pengiraan nisab bagi Zakat Ternakan seperti kambing dan lembu/kerbau ialah:

1. Bagi setiap 40 ekor kambing, zakatnya ditambahkan satu (1) ekor kambing yang berumur dua (2) tahun dan seterusnya.

2. Bagi setiap 30 ekor lembu/kerbau, zakat yang diwajibkan ialah satu (1) ekor lembu/kerbau jantan yang berumur satu (1) tahun. Manakala, bagi setiap 40 ekor lembu/kerbau, zakat yang diwajibkan ialah satu (1) ekor lembu/kerbau betina yang berumur dua (2) tahun.

Berdasarkan hadis Nabi SAW bersabda, yang bermaksud:

“Daripada Muaz R.A, beliau berkata: Baginda Rasulullah SAW telah mengutusku ke Yaman. Baginda menyuruhku mengambil zakat daripada setiap 30 ekor lembu, seekor lembu yang setahun, jantan atau betina dan daripada setiap 40 ekor lembu, zakatnya lembu betina 2 tahun.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi & Abu Daud)

Kaedah pengiraan nisab Zakat Pertanian adalah hasil tanaman yang dituai sekiranya melebihi 363 gantang atau bersamaan 1,300 kg padi. Abi Hurairah R.A. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tanaman yang diairi dengan hujan zakatnya 10%, dan yang diairi dengan selain air hujan zakatnya 5%.” (Hadis Riwayat Tarmizi).

Terdapat tiga (3) kadar dan kaedah pengiraan Zakat Pertanian (padi) berdasarkan cara-cara penghasilannya iaitu:

1. Bagi tanaman yang dijaga dengan sumber percuma (seperti air hujan), maka kadar zakatnya ialah 10%.
2. Bagi tanaman yang dijaga dengan sumber yang dibeli, maka kadar zakatnya ialah 5%.
3. Bagi tanaman yang dijaga dengan menggunakan kedua-dua sumber di atas, maka kadar zakatnya ialah 7.5%.

Negeri Melaka telah mengguna pakai nisab Zakat Pertanian dengan kadar 7.5%, iaitu menggunakan kedua-dua sumber tersebut.

Sebarang pertanyaan dan pembayaran zakat bolehlah layari www.izakat.com atau menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut.

Sekian terima kasih.

Tulus Ikhlas Dari,

Datuk Hj. Ibrahim Bin Fadzil
Ketua Pegawai Eksekutif,
Zakat Melaka,
Majlis Agama Islam Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4726
Kongsi :
Previous post MATTA promosi Bukit Batu Lebah di Hat Yai
Next post Lapan flagship PSMJ2035 versi ketiga dibentangkan
Ubah saiz-+=