Noktahkan miskin tegar di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Menoktahkan miskin tegar di Negeri Melaka perlu menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata, walaupun tiada solusi tunggal yang dapat sepenuhnya mengatasi masalah berkenaan, namun beberapa langkah perlu diambil untuk menguranginya.

Jelas beliau, antara yang perlu dimanfaatkan Kerajaan Negeri ialah menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Inisiatif ini merupakan strategi serampang dua mata untuk menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40, pada masa yang sama berusaha menyelesaikan masalah ekonomi harian menerusi inisiatif IPR.

“Saya turut difahamkan IPR menumpukan usaha membasmi kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat menerusi inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan.

“IPR akan mewujudkan ekosistem antara pemohon, pemegang taruh dan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Tambah Tun Mohd Ali, selain inisiatif sedia ada, Kerajaan Negeri turut disaran memberi tumpuan terhadap inisiatif lain yang dapat membantu rakyat negeri ini yang berada di bawah paras kemiskinan.

Kata beliau antara yang boleh diberi perhatian ialah inisiatif berkaitan pendidikan, latihan kemahiran, kesihatan, perlindungan sosial, pendidikan kewangan serta kesedaran kewangan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1120
Kongsi :
Previous post ‘Terima Kasih PM’
Next post Semarak merdeka dari Kuala Linggi hingga Sungai Rambai – KM
Ubah saiz-+=